SEMPORNA: Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dilaporkan saling berebut kerusi untuk meletakkan calonnya bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya yang akan diputuskan dalam masa terdekat.
PN yang dikepalai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikatakan mahu terus bertanding di kerusi yang kosong selepas penyandangnya, Manis Muka Mohd. Darah dari Parti Warisan Sabah (Warisan) meninggal dunia, ketika BN diwakili UMNO juga bersedia meletakkan calon di kerusi itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Wirawati Warisan Bahagian Semporna, Faradibah Sabardin berkata, lebih memanaskan keadaan apabila calon-calon PN dan BN itu mempunyai pertalian keluarga atau sepupu kepada Manis Muka.
Faradibah yang juga anak kepada Manis Muka berkata, keadaan itu bakal menyaksikan politik keluarga dalam tiga parti politik berbeza saling merebut kerusi DUN Bugaya.
“Ceritanya di Bugaya sekarang mereka (BN dan PN) bergaduh, siapa calon yang mereka mahu letakkan bertanding nanti. Mereka harus memilih salah satu parti sahaja bertanding.
“Kalau dahulu, di Melaka, mereka boleh bertanding bersama, tetapi mereka tidak boleh buat perkara sama di Bugaya, kerana akan memecah belah undi. Jika ada dua kerusi, secara automatik berpecah dan Warisan yang akan memerintah.
“Kalau calon BN, saya ada mendengar yang mereka akan meletakkan calon dalam kalangan sepupu paling dekat dengan arwah ibu saya, begitu juga dengan PN, calon yang arwah ibu pernah lawan dahulu,” katanya semalam.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu, Manis Muka memenangi kerusi DUN Bugaya dengan undi sebanyak 8,557, menewaskan Mohd. Daud Tampokong (PN-Bersatu); Jihek Basanu (Parti Cinta Sabah); Ahmad Kenajaan (Perpaduan); Rasidan Abd. Latiff (Bebas); Taraji Jamdi (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) dan Abdul Jan Muammil (Bebas).
Bekas Ketua Wanita Warisan Semporna itu meninggal dunia pada 17 November 2020 akibat masalah buah pinggang.
Pada 24 Januari lalu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menjangkakan PRK Bugaya akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi apabila pihaknya sudah memohon pelaksanaan pilihan raya kecil kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
PRK Bugaya ditangguhkan sejak Januari tahun lalu ekoran pengisytiharan darurat oleh kerajaan, bagaimanapun, timbul dakwaan ia sengaja dilewatkan kerana Bugaya adalah kawasan pembangkang ditadbir Warisan selain konflik dalaman PN dan BN melibatkan calon.
Mengulas lanjut, ditanya sama ada Faradibah mahu bertanding di Bugaya demi meneruskan legasi arwah ibunya, beliau menyerahkan keputusan itu kepada kebijaksanaan Presiden parti, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
“Kalau diberi peluang, kenapa tidak? Tetapi, sebolehnya saya tidak mahu fikir soal itu, saya mahu terus bekerja sebagai wirawati jika tidak dicalonkan.
“Setakat ini, Presiden masih belum berkata apa-apa, dahulu pun semasa mencalonkan ibu saya, beliau hanya umum dua hari sebelum hari penamaan, bukan seminggu awal. Ia memang sukar dijangka,” katanya.