BGTN urus penghantaran mayat kanak-kanak Orang Asli Bateq - Utusan Malaysia

BGTN urus penghantaran mayat kanak-kanak Orang Asli Bateq

ROSLAN Abu Kassim (berdiri, kanan) membantu urusan mengangkat mayat kanak-kanak perempuan Orang Asli etnik Bateq ke atas bot penambang di jeti Kampung Kuala Tahan di Jerantut, Pahang. - FOTO /IHSAN PENDUDUK KUALA TAHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Bird Group Taman Negara (BGTN) melaksanakan tugas sukarelawan menghantar mayat seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli etnik Bateq untuk pengebumian di Kampung Kuala Atok berdekatan Kuala Tahan dekat sini hari ini.

Pengerusi BGTN, Roslan Abu Kassim berkata, mengikut sumber keluarganya, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu meninggal dunia akibat jangkitan kuman di paru-paru dibawa daripada Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh oleh ambulans ke jeti Kuala Tahan untuk dibawa pulang ke Kampung Kuala Atok. 

“Kita menguruskan penghantaran mayat kanak-kanak ini ke kampung tersebut kira-kira 30 minit perjalanan bot Sungai Tembeling untuk upacara pengebumian di atas pokok yang akan dilakukan oleh tok batin dan keluarga mengikut kepercayaan kaum tersebut. 

“BGTN terpaksa meminta bantuan bot penambang daripada rakan penduduk Orang Asli Bateq kerana perahu kajang berenjin milik kami sudah hilang dilanda ombak Jeram Panjang, Sungai Tembeling ketika melakukan penghantaran bantuan banjir pada 5 Januari lalu,” katanya di jeti Kuala Tahan dekat sini hari ini. 

Menurut Roslan, ketiadaan perahu kajang berenjin amat sukar bagi sukarelawan BGTN membantu kebajikan hampir 1,000 orang penduduk Orang Asli Taman Negara termasuk selaku pengantara dengan agensi kerajaan dan NGO luar ketika tugas perkhidmatan tertentu dan penghantaran barang makanan. 

“Selagi ketiadaan perahu kajang berenjin, saya dan rakan BGTN amat sukar menjalankan kerja sukarelawan dan tidak mampu menyewa bot penambang lain kerana kos terlalu tinggi, iaitu antara RM300 hingga RM600 sekali perjalanan. 

“Saya memohon kerajaan, rakan NGO luar dan dermawan supaya dapat menyumbangkan kewangan sebanyak RM16,000 untuk membeli sebuah perahu kajang dan enjin baharu bagi kemudahan tugas misi kemanusiaan membantu penduduk Orang Asli etnik Bateq di Taman Negara Kuala Tahan,” katanya. 

Katanya, perahu kajang berenjin amat diperlukan untuk sukarelawan BGTN menghantar bantuan daripada NGO luar seperti barang makanan, peralatan tidur, peralatan belajar dan sebagainya untuk dihantar ke lima buah perkampungan Orang Asli tersebut. 

Kerajaan, NGO dan dermawan yang ingin membantu boleh menghubungi Roslan menerusi talian 0146051663 atau Abdul Jalil Abd. Rahman (0199965263). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN