KOTA TINGGI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pengerang berharap parti-parti lain dapat memberi laluan kepada Perikatan Nasional (PN) menandingi Barisan Nasional (BN) di kawasan berkenaan pada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Ketuanya, Mohd. Faizal Asmar berkata, baru-baru ini Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Katanya, sebagai pemimpin peringkat akar umbi, beliau amat mengalu-alukan seruan tersebut yangi mana pihaknya juga sedang bersiap sedia untuk berdepan pilihan raya itu.
“Kami sedang mempersiap pasukan yang berwibawa dan utuh bagi mewakili PN di peringkat DUN ini. Terdapat dua DUN di Parlimen Pengerang iaitu Penawar dan Tanjung Surat. Semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kedua-dua DUN ini ditandingi oleh parti pembangkang tetapi malangnya kalah teruk dengan BN.
“Kami sedar akan perkara itu dan mengambil iktibar akan kekalahan itu. Ini menunjukkan parti-parti seperti ini masih belum diterima oleh masyarakat Melayu di luar bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE