Belanja ikan kelah RM2,500 untuk dijadikan sajian Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

Belanja ikan kelah RM2,500 untuk dijadikan sajian Tahun Baharu Cina

AHMAD DANIAR Ismail menunjukkan ikan liar Sungai Jelai spesies Kelah (Tor putitora) yang diborong daripada nelayan sungai di Kampung Kuala Medang di Lipis, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Pengurus restoran masakan tradisional Pahang, House of Patin, Kuala Lumpur, Ahmad Daniar Ismail, 46, bertuah sempena Tahun Baharu Cina apabila memperoleh ikan kelah atau nama saintifiknya, Tor putitora yang dibeli daripada seorang nelayan Sungai Jelai di Kuala Medang, Jelai dekat sini hari ini.

Beliau berkata, ketika pulang bercuti di Kampung Kuala Medang hasratnya cuma untuk memperoleh ikan liar Sungai Jelai seperti ikan patin, ikan kerai, ikan baung dan spesies lain untuk dibawa pulang bagi menyediakan masakan berasaskan campuran tempoyak dan steambot untuk pelanggan yang mengunjungi restoran miliknya, House of Patin yang terletak di No. 5, Jalan Liew Weng Chee off Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur.

“Pagi ini saya didatangi seorang nelayan Sungai Jelai yang juga rakan sekampung untuk menjual ikan kelah yang ditangkap menggunakan jaring petang samalam.

“Ketika ditimbang ikan ini seberat 10 kilogram dan tanpa ragu-ragu, saya terus membayar harga spesies bermutu tinggi dengan nilai RM2,500 berasaskan harga RM250 sekilogram,” katanya di Kampung Kuala Medang dekat sini hari ini.

Menurut Ahmad Daniar, dia juga memborong ikan patin, kerai, baung dan ikan lawang, iaitu spesies di habitat Sungai Jelai berdekatan kampung tersebut dengan nelayan sungai berkenaan dengan kesemua perbelanjaan bernilai RM3,500.

“Saya jarang membeli ikan kelah seberat ini, kebiasaannya saya peroleh daripada nelayan sungai di sini cuma seberat kurang daripada lima kilogram, tetapi kali ini bernasib baik, mungkin tuah Tahun Baharu Cina, perayaan Satu Malaysia.

“Petang ini, saya akan kembali ke Kuala Lumpur untuk memasak ikan kelah dan ikan liar yang telah diborong ini untuk sajian kepada pelanggan yang datang ke restoran saya sempena cuti Tahun Baharu Cina khususnya rakan kenalan dari kaum Cina,” katanya.

Ahmad Daniar yang berasal dari Kampung Kuala Medang berkata, kebiasaan ikan kelah itu dicampur masakan ayam tempoyak dan boleh juga disediakan steambot yang menjadi kegemaran masyarakat Kuala Lumpur termasuk kebanyakan kalangan menteri dan pentadbir kerajaan yang singgah makan di situ.

Katanya, oleh kerana permintaan ramai pelanggan dengan sajian berasaskan ikan liar Sungai Jelai, dia setiap minggu berulang alik ke Kuala Medang untuk bekalan ikan berkenaan atau kadang-kadang rakannya menghantar ke ibu kota.

“Saya sanggup berbelanja (memborong) seberapa banyak spesies liar ikan kelah, patin, kerai dan lain-lain kerana untuk memenuhi permintaan ramai pelanggan selain menjaga imej restoran ini sebagai pusat sajian makanan tradisional Pahang di ibu kota,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya