ALOR SETAR: Seorang bekas Pembantu Antidadah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan rasuah, enam tahun lalu.
Tertuduh, Erwan Yahya, 46, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan. Erwan membayar denda tersebut.
Bagi pertuduhan pilihan pertama, tertuduh didakwa menerima suapan RM3,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan melepaskan seorang individu lain yang didapati positif dadah jenis syabu. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dalam kereta Proton Iswara di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani kira-kira pukul 5.30 petang, 7 Disember 2016.
Sementara pertuduhan pilihan kedua, tertuduh didakwa bersama seorang lagi pegawai AADK berusia 38 tahun dengan niat bersama bersetuju menerima suapan RM3,000 daripada seorang lelaki atas dorongan sama. Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah kosong di Bandar Puteri Jaya pada pukul 3 petang, hari yang sama.
Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping manakala tertuduh diwakili peguam, Alias Ibrahim.
Alias dalam rayuannya memaklumkan bahawa anak guamnya sudah insaf yang mana hidupnya juga menjadi porak-peranda.
“Dia hilang pekerjaan dan rumah tangganya juga hancur. Selain itu tertuduh turut menghidap penyakit kencing manis dan tidak memiliki pendapatan tetap. Anak guam saya juga terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 8 Februari lalu mengakibatkan rusuk serta lutut kanannya cedera, mengakibatkan dia terpaksa menggunakan tongkat,” katanya.
Tambahnya, anak guamnya percaya bahawa semua kejadian itu merupakan balasan tuhan terhadap dirinya dan berjanji mahu membina hidup baharu. – UTUSAN