KUALA LUMPUR: Bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Mohamed Khairuzzaman mendapat perintah penggantungan sementara daripada Mahkamah Tinggi di sini hari ini agar beliau tidak dihantar pulang ke negara asal oleh Jabatan Imigresen.
Perkara tersebut diputuskan oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan selepas membenarkan permohonan bekas diplomat itu sementara menunggu pendengaran habeas corpusnya pada 20 Mei ini.
Mohamed Khairuzzaman selaku pemohon memfailkan permohonan habeas corpus agar dia dibebaskan oleh Kerajaan Malaysia daripada tahanan salah secara serta merta.
Pemohon menamakan Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen sebagai responden-responden dalam permohonan itu.
Lelaki tersebut merupakan pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian UNHCR) dan menetap di ibu negara sejak lebih satu dekad lalu.
Pada 10 Februari lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan Mohamed Khairuzzaman, 70, ditahan pihak berkuasa negara ini tanpa mendedahkan alasan penahanan itu.
Bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia itu ditahan pihak Imigresen di rumahnya di Ampang, sehari sebelumnya.
Menurut laporan media, Mohamed Khairuzzaman dikehendaki atas sebab yang tidak didedahkan. Namun isterinya, Rieta Rahman berkata, penahanannya bermotifkan politik yang dicetuskan oleh Kerajaan Bangladesh.
Terdahulu, peguam Edmund Bon yang mewakili Mohamed Khairuzzaman membangkitkan tindakan pegawai Imigresen menghantar pulang tahanan Myanmar tahun lalu sedangkan perintah mahkamah menghalang kerajaan berbuat demikian.
Timbalan Pendakwa Raya Wong Siew Mun yang mewakili pihak Jabatan Imigresen berkata, beliau akan memaklumkan penangguhan interim itu kepada Jabatan Peguam Negara. – UTUSAN