MELAKA: Bazar Ramadan Jalan Hang Tuah dekat sini pernah diiktiraf antara yang terbesar di negara ini sejak dibuka pada 2013.
Digelar Bazar Ramadan Mega kerana membabitkan lebih 100 peniaga menjual pelbagai barangan bagi umat Islam, ia mencuri tumpuan masyarakat dengan kehadiran mencecah antara 20,000 hingga 30,000 pengunjung ketika itu.
Namun, menjelang sambutan Ramadan pada April ini, Jalan Hang Tuah bakal sepi tanpa kehadiran peniaga-peniaga seperti sembilan tahun lalu dan tiada lagi bazar tersebut dianjurkan tahun ini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu berkata, bazar Ramadan di Jalan Hang Tuah berkemungkinan besar tidak beroperasi kerana sehingga kini tidak ada penganjur memohon untuk mengadakannya di kawasan tersebut.
Katanya, tahun lalu sewaktu wabak Covid-19 masih menular, kerajaan membenarkan pembukaan bazar Ramadan, namun daripada 100 tapak yang ditawarkan hanya beberapa peniaga menjalankan perniagaan.
“Mungkin kurangnya pelanggan pada bazar tahun lalu menyebabkan MBMB tidak menerima sebarang permohonan menjalankan perniagaan sepanjang Ramadan ini di situ.
“Kesan daripada Covid-19 turut menjejaskan bazar di Jalan Hang Tuah. Suasana sudah tidak seperti dulu. Memang benar bazar ini pernah diiktiraf antara yang terbesar di negara ini tetapi sekarang tidak lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Zainal, pihaknya menjangkakan tujuh bazar Ramadan akan beroperasi, namun sehingga kini hanya satu permohonan diterima daripada penganjur di Dataran 1 Malaysia Klebang.