PUTRAJAYA: Ketika ini, bekalan telur ayam di pasaran tempatan seluruh negara amat sukar diperoleh.
Namun, apabila bekalan pulih kelak, umat Islam perlu ingat bahawa kulit telur ayam perlu dibasuh bagi menjamin kebersihan dan mengelak kuman.
Itu syor dikeluarkan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berhubung soal jawab agama mengenai keperluan membasuh kulit telur yang dikongsinya menerusi Maktabah Al-Bakri, hari ini.
Menurutnya, jika telur tersebut tidak kelihatan padanya najis seperti tahi ayam dan sebagainya maka ia dihukum sebagai suci.
“Namun, jika ternampak najis pada telur itu atau diyakini adanya najis padanya disebabkan berbau najis, maka wajiblah membasuhnya sebelum digunakan.
“Jika tidak dibasuh dikhuatiri najis tersebut akan terkena pada isi dalam telur ketika dipecahkan atau pada makanan lain,” katanya.
Katanya, amalan membasuh kulit telur ayam juga termasuk dalam etika yang baik dalam penyediaan makanan dan lebih dekat dengan agama Islam itu sendiri.
Zulkifli berkata, seorang doktor perubatan, Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan turut mengesyorkan bahawa tidak perlulah membasuh dan menyental kuat-kuat kulit telur itu sehingga hilang semua lapisan perlindungannya.
“Menurut Dr. Kamarul Ariffin lagi, kita hanya perlu membasuh kulit telur bagi membuang najis padanya agar bersih dan tiada kontaminasi silang.
“Malah, katanya lagi, najis dan kulit telur boleh tercemar dengan kuman seperti Salmonella, dan ia boleh berpindah kepada makanan lain yang disimpan dalam peti sejuk,” katanya. -UTUSAN ONLINE