KEMAMAN: Seorang ibu tunggal tujuh anak di Kampung Titian Berayun, Kijal di sini terpaksa membancuh susu pekat untuk bayinya yang berusia 11 bulan sebagai pengganti susu formula.
Che Wan Fatimah Che Wan Hamid, 36, berkata, susu sama turut diberikan kepada anak keenamnya yang berusia tiga tahun kerana ketiadaan sumber pendapatan sejak berpisah dengan suami, Jun tahun lalu.
Katanya, selepas bercerai, mereka lapan beranak kini menumpang di kediaman ibu bapanya, Che Wan Hamid Mohamad, 81, dan Kesom Salleh, 71.
“Selain susu, dua anak yang masih kecil kadangkala terputus bekalan lampin pakai buang. Sebolehnya saya tidak mahu menyusahkan ayah kerana pendapatannya tidak seberapa sebagai nelayan.
“Tetapi saya tiada pilihan dan terpaksa bergantung harap kepada ihsan ibu bapa untuk meneruskan hidup bersama anak-anak,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Che Wan Fatimah berkata, tahap kesihatan yang tidak mengizinkan kerana menderita injap jantung bocor menyebabkannya tidak mampu mencari nafkah untuk keluarga.
Katanya, sebelum ini kehidupannya dan anak-anak bukan sahaja diabaikan bekas suami, malah turut menjadi mangsa sepak terajang lelaki berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, bantuan sebanyak RM1,000 sebulan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah diluluskan bagi membolehkan ibu tunggal berkenaan menyara keluarganya.
“Saya juga telah mendaftarkan anak sulungnya ke GiatMara Kijal bagi mengikuti latihan dan bakal menerima elaun sebanyak RM200 sebulan,” katanya. – UTUSAN