Banci Malaysia 2020 jana kejayaan RMK-12, WKB 2030 - Utusan Malaysia

Banci Malaysia 2020 jana kejayaan RMK-12, WKB 2030

ISMAIL Sabri Yaakob bersama Mustapa Mohamed (kiri) dan Mohd. Uzir Mahidin melancarkan Laporan Penunjuk Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) di Shah Alam, Selangor, hari ini. - ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan berharap Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 menjadi input terbaik dalam menentukan hala tuju negara termasuk menjayakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Berdasarkan kepada laporan tersebut, negara kini mempunyai penduduk seramai 32.4 juta yang mana 91.7 peratus daripadanya adalah warganegara sementara baki 2.7 juta adalah bukan warganegara.

Daripada jumlah tersebut juga, lelaki merupakan penduduk paling ramai di negara ini iaitu 52.3 peratus berbanding wanita 47.7 peratus atau nisbah 110 lelaki berbanding 100 wanita.

Selain itu, laporan daripada Jabatan Perangkaan (DOSM) tersebut juga menunjukkan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) penduduk adalah 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi statistik mengikut etnik, penduduk Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 69.4 peratus diikuti oleh etnik Cina (23.2 peratus), India (6.7 peratus) dan Lain-lain (0.7 peratus).

“Penghasilan profil yang terperinci akan digunakan untuk membuat perancangan dan keputusan berkenaan perkhidmatan awam yang diperlukan bagi setiap lokaliti seperti hospital, sekolah, jalan raya dan pengangkutan awam. Ia juga akan digunakan untuk pengiraan pendapatan perkapita, penggubalan dasar-dasar warga emas dan perancangan sosial.

“Di samping menentukan dasar dan polisi yang terbaik, maklumat yang dikumpulkan melalui banci ini akan digunakan untuk menilai pencapaian negara pada masa kini. Data yang dikumpul melalui Banci Penduduk dan Perumahan 2020 dapat memberikan gambaran kepada kita, di mana kita berada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Laporan Penunjuk Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dan Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid.

Ismail Sabri menambah, maklumat yang dikumpulkan melalui banci itu akan digunakan untuk menilai pencapaian negara pada masa kini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan banci akan digunakan sebagai input berasaskan evidence-based decision-making dalam penentuan geran per kapita, penggubalan dasar utama, penanda aras dalam pengukuran Sustainable Development Goals (SDGs) 2030.

“Perkara itu menjadi penanda aras terkini bagi indikator berasaskan penduduk dan penilaian pencapaian serta penghasilan small area statistics, yang juga menjurus kepada keperluan pengukuran pencapaian RMK-12 seterusnya meningkatkan taraf hidup wajar kepada Keluarga Malaysia bertepatan dengan prinsip SDG 2030 iaitu ‘Leave No One Behind’. 

“Statistik Banci Penduduk dan Perumahan dapat memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa Malaysia termasuk saiz, taburan, komposisi dan ciri sosio-ekonomi penduduk serta perumahan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya