SHAH ALAM: Skuad badminton lelaki negara dijadualkan menentang Kazahkstan iaitu sebuah pasukan jika dicongak di atas kertas, Malaysia seharusnya tiada masalah untuk melakar kemenangan dalam aksi Kumpulan B pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, hari ini.
Hadir sebagai pencabar ‘underdog’, barisan pemain Kazkhstan yang terdiri daripada Jangir Ibrayev, Khaitmurat Kulmatov, Ilya Lysenko, Artur Niyazov, Andrey Shalagin dan Makhsut Tajibullayev, bukanlah nama yang biasa didengar dalam kancah badminton dunia.
Bakal bermain tanpa sebarang tekanan menentang Malaysia, Kazakhstan bolehlah dianggap sebagai sebuah pasukan yang mahu mencari pengalaman dan peluang beraksi menentang lawan berkelas dunia.
Pemain perseorangan kedua negara, Ng Tze Yong ketika ditemui pemberita berkata, dia lebih selesa menyifatkan Kazakhstan sebagai sebuah pasukan yang sedang meningkat naik.
Walaupun bakal berdepan pencabar yang boleh dianggap mudah di Pusat Konvensyen Setia Alam City, Tze Yong memberi jaminan dia dan rakan sepasukan yang lain akan tetap melayan Kazakhstan seperti mana pencabar yang lain.
“Kalau bercakap mengenai persiapan pasukan, kita melakukan persiapan sebaiknya untuk berdepan setiap lawan kami.
“Jika diturunkan jurulatih dalam perlawanan itu nanti, saya akan berjuang sebaik mungkin bagi menyumbang mata kepada pasukan,” katanya.
Bagi Tze Yong, memandang rendah keupayaan lawan tidak akan sesekali dilakukannya kerana apa sahaja boleh berlaku dalam kejohanan berpasukan seperti BATC.
Pemain berusia 22 tahun yang menghuni ranking ke-47 dunia itu secara jujur mengakui dia sendiri tidak langsung mengenali lawannya dari Kazakhstan tersebut.
“Sama ada mereka mampu membuat kejutan, saya sendiri tidak pasti kerana sudah berapa tahun tidak nampak mereka bermain, jadi saya tidak tahu bagaimana corak permainan mereka.
“Saya fikir susah juga untuk jumpa mereka, namun, peluang kita tetap tinggi untuk layak ke separuh akhir, cuma jangan letak diri dalam zon yang terlalu selesa,” ujarnya.