Astro dan PSM kukuh jalinan bersama - Utusan Malaysia

Astro dan PSM kukuh jalinan bersama

LIGA Sepak Takraw (STL) terus mendapat tempat di hati peminat sukan tanah air negara.- UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Astro meneruskan kerjasama bersama Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) selaku rakan penganjur Liga Sepak Takraw (STL) selama 10 tahun sehingga 2032 demi pembangunan masa depan sukan sepak takraw bukan sahaja di peringkat domestik, malah ke negara serantau.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John menganggap kerjasama yang terjalin sejak 2014 itu telah berjaya membawa perubahan dan nafas baru kepada landskap sukan warisan ini kembali rancak.

NICHOLAS JOHN

“STL telah mencetuskan fenomena luar biasa sehingga pelbagai kejayaan telah ditempa termasuk meraih sekitar 15.6 juta penonton antara tahun 2018 hingga 2021 dan kerjasama bersama beberapa syarikat penyiaran antarabangsa untuk melebarkan sayap dan perhatian buat kejohanan ini.

“Untuk musim 2021/2022, siaran STL telah menembusi pasaran lebih dari 6 negara termasuk Thailand, Indonesia, Singapura, Filipina dan Hong Kong sekali gus memberi petunjuk baik dari segi penerimaan buat sukan ini.

“Liga kompetitif dan berprestij ini telah menjadi tumpuan peminat di serantau dan sudah tentu kami ingin menjadikan STL sebagai satu sukan yang gah dan premium untuk disiarkan ke seluruh dunia”.

“Dengan kejayaan ini tidak mustahil Malaysia mampu menjadi hab sukan dan kuasa besar sukan sepak takraw di rantau ini serta menjadi salah satu langkah untuk meningkatkan kualiti pemain negara dalam melahirkan pemain sepak takraw bertaraf dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan pula yakin dengan kerjasama yang dijalinkan ini akan merancakkan lagi usaha sama antara kedua-dua pihak dalam memberi impak positif mentransformasi sukan ini.

MOHD SUMALI REDUAN

“PSM selaku badan induk sukan negara yang diiktiraf oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutamanya MOM, Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memberikan sokongan dan dokongan dalam penganjuran kejohanan STL selama ini.

“Persatuan mempunyai sasaran jelas untuk memartabatkan kembali nama Malaysia dalam sukan ini melalui komitmen jangka panjang bersama Astro yang mempunyai platform besar dalam mempromosikan sukan tradisi ini.

“PSM juga bekerja keras sebelum ini dalam menjadi pelopor sukan ini dan usaha ini tidak akan terhenti begitu saja, kami akan terus berganding bahu merangka strategi baru dan hala tuju dalam usaha mengembalikan zaman kegemilangan sukan ini di persada antarabangsa,” jelasnya.

Kejohanan Emas Anuar STL Edisi Ke-8 sedang berlangsung sehingga 26 Mac 2022, penonton boleh menyaksikannya di Astro Arena (Saluran 801) atau layari Aplikasi Astro GO.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya