KUALA LUMPUR: Perunding Penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), K. Lalitha mendakwa semua artikel yang dikatakan memfitnah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dibuat berdasarkan laporan penyiasatan (investigative reporting).
Artikel-artikel yang mengaitkan Azam dengan pemilikan saham secara salah juga adalah berdasarkan analisis neutral dan tidak berat sebelah atas semua fakta dan maklumat yang boleh diperoleh melalui domain awam.
“Defendan mengakui mengenai artikel-artikel, ciapan-ciapan yang dibuat dan kenyataan media peguamnya tetapi menafikan bahawa kenyataan media itu adalah bersensasi, bersifat skandal, menjengkelkan dan menjelekkan,” kata wanita itu dalam penyataan pembelaannya.
Penyataan pembelaan yang difailkan semalam melalui firma guaman Tetuan Ibrahim dan Fuaadah bagi menjawab afidavit dakwaan Azam selaku plaintif dalam tuntutan saman fitnah RM10 juta terhadap Lalitha yang dinamakan sebagai defendan diperoleh media hari ini.
Semalam Lalitha hadir di Ibu pejabat Polis Bukit Aman bagi memberi keterangan membantu siasatan dipercayai berhubung dua penulisan artikelnya berkaitan dakwaan pemilikan saham oleh Azam.
Siasatan tersebut dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan.
Selain itu, Lalitha dalam penyataan pembelaannya menyatakan bahawa dia terlindung di bawah pembelaan komen yang adil, justifikasi dan perlindungan bersyarat.
Lalitha juga mendakwa sebelum dia mula menulis artikelnya dan sehingga dia menyiapkan penulisannya pada Oktober tahun lalu, dia telah mencuba beberapa kali untuk mendapatkan maklum balas daripada Azam berhubung isu itu namun plaintit tidak memberikan sebarang maklum balas.
“Tiada niat jahat di pihak saya seperti yang didakwa oleh plaintif dan tidak ada persoalan keistimewaan oleh bukti niat jahat kerana kewajaran kelakuan saya dibina dalam syarat dan butir-butir yang diplidkan.
“Jika kata-kata itu memfitnah plaintif, defendan memplid pembelaan ‘Reportage’ (pelaporan) dan menyatakan bahawa artikel-artikel diterbitkan hasil daripada laporan penyelidikan Defendan yang adil dan neutral untuk kepentingan awam,” katanya.
Selain itu, Lalitha mendakwa dia mempunyai kewajipan untuk menyiarkan artikel-artikel terbabit kerana dakwaan-dakwaan yang ditimbulkan satu kebimbangan awam dan dakwaan yang berat dan serius terhadap SPRM dan Kerajaan.
Pada 26 Oktober 2021, Lalitha menerbitkan artikel bertajuk ‘Business ties among MACC leadership: How deep does it go?’ di sebuah portal berita.
Susulan pendedahan laporan berkenaan, Azam memfailkan saman fitnah RM10 juta di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur terhadap Lalitha berhubung artikel berkenaan pada 12 Januari lalu.
Menurut pernyataan tuntutan Azam, kenyataan berbaur fitnah yang diterbitkan oleh Lalitha adalah untuk memperlekehkan nama baik, reputasi dan kedudukan plaintif sebagai seorang individu dan jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Oleh itu, Azam memohon satu perintah injunksi bagi menghalang Lalitha atau ejennya daripada membuat, menerbitkan atau menyebabkan kenyataan berbaur fitnah itu diterbitkan semula dalam apa juga cara.
Plaintif turut memohon agar defendan memadamkan artikel dan ciapan dalam tempoh masa tiga hari penghakiman dibuat serta permohonan maaf yang akan diterbitkan dalam akhbar atau media sosial pilihan Azam.
Azam turut memohon ganti rugi am sebanyak RM10 juta dan ganti rugi teruk, kos serta lrelif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Turut dimohon ialah faedah sebanyak lima peratus atas jumlah ganti rugi am dan teruk dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.
Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 15 Februari ini.