BEIJING: Lagenda papan salji Amerika Syarikat, Jamie Anderson mendedahkan tentang masalah mental yang dihadapinya pada malam sebelum perlawanan akhir gaya cerun dalam saingan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.
Dalam satu hantarannya di Instagram, pemenang dua kali pingat emas Olimpik itu bercakap mengenai ‘perubahan emosi’ yang menyebabkan dia mengalami gangguan pada malam tersebut.
Anderson berkata bahawa dia tidak sabar untuk ‘berehat’ untuk memberi tumpuan kepada penjagaan dirinya selepas temasya itu tamat.
“Saya agak teruk ketika itu dan saya masih ingat apabila saya menelefon teman lelaki saya, saya seperti tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
“Semua orang menjangkakan saya untuk menang dan saya tidak tahu tentang apa yang ingin dilakukan.
“Saya fikir lebih baik berhubung dengan orang ramai untuk mendapatkan sokongan dan bukannya perlu panik. Gunakan talian hayat itu, tidak mengapa untuk berasa seperti terdedah dan berasa takut,” kata Anderson
Anderson meraih emas Olimpik berganda itu, ketika memenangi gelaran pertamanya di Sochi 2014 dan diikuti dengan emas kedua dalam pertandingan yang sama di PyeongChang 2018.
Pada 14 Februari depan, Anderson akan bertanding dalam pertandingan ‘big air’ dan diletakkan sebagai peserta pilihan meraih pingat. – AGENSI