TAWAU: Seorang buruh ladang warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan lapan sebatan di Mahkamah Sesyen di sini semalam bagi dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua anak kandungnya.
Lelaki berusia 50 tahun itu dijatuhi hukuman tersebut setelah mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan yang dibaca dihadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi daerah, Amir Shah Amir Hassan yang bertindak selaku hakim.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas anak perempuannya yang berumur 17 tahun dengan meraba kaki kirinya di sebuah rumah pekerja di Ladang Belian, Benta Wawasan, Jalan Luasong, Kalabakan kira-kira pukul 10 malam, pada Ogos 2020.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa meraba bahagian lutut kiri seorang lagi anak perempuannya yang berusia 15 tahun di lokasi sama kira-kira pukul 11 malam pada Januari 2021.
Pendakwaan terhadap tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta yang sama.
Mengikut Seksyen 14 (a), tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat manakala, Seksyen 16 (1) memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.
Berdasarkan fakta kes, bapa saudara mangsa selaku pengadu turut mendapati tertuduh dipercayai merogol dan meraba salah seorang mangsa sejak 2016.
Susulan itu, bapa saudara mangsa mendapatkan nasihat Konsulat Republik Indonesia sebelum melaporkan kes berkenaan kepada polis dan tertuduh kemudian ditahan pada 11 Januari lalu.
Tertuduh dalam rayuannya meminta mahkamah meringankan hukuman terhadapnya kerana dia perlu menyara keluarga dan menyesali perbuatan yang dilakukan sebelum ini.
Hakim menjelaskan kesalahan tertuduh adalah berat dan serius maka, setelah mengambil kira kepentingan awam dan trauma emosi yang dialami mangsa selaku anak kandungnya.
Justeru, tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun dan empat sebatan bagi setiap pertuduhan yang dijalankan secara berasingan. Tertuduh akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi tujuan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Suriana dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Jhassary Kang.- UTUSAN ONLINE