KUALA TERENGGANU: Seorang pengantin baharu cuma sempat bergelar suami 72 jam sebelum maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Surau Panjang di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 petang itu, mangsa, Muhammad Mustaqim Mustafa, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah lori hingga tercampak ke mesin pembancuh simen di tepi jalan.
Ibunya, Zaitun Yusof, 57, berkata, pemergian sekelip mata anak ketujuhnya itu mengejutkan keluarga, malah turut mengganggu emosi menantunya, Sharifah Erin Nurshafieka Saiyed Azman, 20, hingga kini.
Katanya, pasangan mempelai itu diijab kabul Khamis lalu dengan majlis persandingan dirancang pada 26 Mac ini.
“Pernikahan anak saya sepatutnya dibuat pada Jun ini, namun diawalkan atas permintaan arwah dan tidak sangka terlalu cepat dia pergi meninggalkan kami.
“Menantu saya masih terkejut dan tetap menunggu kepulangan arwah walaupun jenazah sudah dikebumikan Tanah Perkuburan Kampung Beladau Selat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Belukar Sukai, di sini hari ini.
Sementara itu, bapanya, Mustafa Ahmad, 60, berkata, nahas tersebut berlaku ketika anaknya dalam perjalanan pulang selepas selesai menghantar bekalan ikan ke kedai makan berhampiran.
Katanya, perubahan sikap Muhammad Mustaqim yang tidak bersungguh-sungguh menyiapkan kediaman baharu untuk dihuni bersama isteri di belakang rumah mereka merupakan petanda dia pergi buat selamanya. – UTUSAN ONLINE