MELAKA: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka disahkan positif Covid-19, lantas tidak dapat hadir ke Perasmian Pembukaan Persidangan Kedua, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, hari ini.
Mereka ialah Dr. Mohd. Yadzil Yaakub (PN-Bemban) dan Mohd. Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong).
Perkara itu dimaklumkan Yang Dipertua DUN, Datuk Ibrahim Durum melalui ucapan alu-aluannya, seterusnya memohon semua ADUN mendoakan kesihatan kedua-duanya cepat pulih dari Covid-19 seperti sediakala.
Persidangan kali ini berlangsung selama empat sehingga Khamis dan dimulakan dengan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Sebanyak 112 soalan lisan dan 95 soalan bertulis turut akan dibentangkan.
Selain itu, satu usul dan dua rang undang-undang (RUU) akan dibawa kerajaan negeri sebelum dibahas dan diluluskan ahli dewan.
Untuk rekod, Barisan Nasional (BN) menguasai 21 kerusi DUN Melaka diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan lima kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) pula dua kerusi. – UTUSAN