PETALING JAYA: Seramai 517,107 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah didaftarkan oleh ibu bapa untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perkembangan itu merupakan satu permulaan yang baik kepada kementerian dan pihaknya akan meneruskan usaha komunikasi berkenaan kebaikan vaksin berkenaan.
“Saya berharap hampir semua kanak-kanak di Malaysia mendapat vaksin menjelang akhir Februari ini. Pasukan Khas Imunisasi Covid-19- Kanak-Kanak (CITF-C) di bawah Dr. Noor Azmi Ghazali (Timbalan Menteri Kesihatan) akan bekerja keras bersama Kementerian Pendidikan,” katanya dalam akaun Twitter beliau hari ini.
Selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bawah 18 tahun sejak 8 September lalu, kini ia bakal diperluaskan kepada kanak-kanak bawah 12 tahun bermula esok.
Sebelum ini, Dr. Noor Azmi berkata, seramai empat juta individu berusia lima hingga 12 tahun akan layak divaksin.
Katanya, dengan ketibaan bekalan pertama, pemberian dijangka mula pada 3 Februari dan buat permulaan sekitar Lembah Klang.