PUTRAJAYA: Kluster aktif Covid-19 terus merekodkan penambahan jumlah yang terkini sebanyak 332 kluster berbanding semalam, 322 kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kluster Covid-19 baharu menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan 15 kluster berbanding semalam, lapan kluster.
“Ia menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,457 kluster.
“Jumlah kluster tamat sebanyak 6,125 kluster berbanding semalam, 6,120 kluster,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan sebanyak 5,720 kes positif menunjukkan sedikit penurunan berbanding semalam, 5,736 kes sekali gus mengatasi 3,968 kes sembuh.
“Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan peningkatan iaitu 56 kes berbanding semalam, 54 kes.
“Pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) turut merekodkan sedikit peningkatan, 114 kes berbanding semalam, 112 kes,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 43 kes bersamaan 0.8 peratus daripada 5,720 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
“Bakinya, sebanyak 5,677 kes bersamaan 99.2 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan mencatatkan tujuh kes bersamaan semalam, tujuh kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 6 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman sesawang https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 31,992 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), dua kes daripada tujuh kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,449 kes. -UTUSAN ONLINE