30 tahun hadapi masalah bekalan air bersih - Utusan Malaysia

30 tahun hadapi masalah bekalan air bersih

RATA-RATA penduduk dan peniaga perlu mengangkut air bersih setiap hari untuk kegunaan harian dan urusan perniagaan seperti kedai makan dan sebagainya daripada tangki air yang diletakkan berhampiran dengan bangunan arked perniagaan di Pekan Awah di Maran, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Kira-kira 200 penduduk dan peniaga di arked perniagaan Pekan Awah di sini tertekan dengan krisis bekalan air bersih sekali gus mendesak pihak bertanggungjawab membuat penyelesaian dengan segera.

Arked perniagaan yang terletak begitu strategik di tepi laluan utama menuju susur keluar ke Plaza Tol Chenor, sepatutnya memberi kelebihan kepada peniaga sebaliknya mereka terpaksa berdepan masalah bekalan air yang tidak berkesudahan hingga ada yang mengakibatkan perniagaan terjejas.

Mereka mendakwa sudah berdepan masalah itu sejak 30 tahun lalu malah lebih membebankan kerana jika bekalan air ada atau tidak, mereka tetap perlu membayar bil bulanan RM20.

Seorang peniaga, Azmil Zakuan Ishak, 38, berkata, setiap hari sejak mula berniaga sekitar 2006, dia terpaksa menadah air dari rumah untuk dibawa ke kedai bagi memastikan urusan harian di kedai makan yang diusahakan tidak terganggu.

“Kalau tidak bawa air sendiri memang susah bagi kami, jadi dengan air tadahan itulah kami gunakan untuk membasuh, ambil air sembahyang dan pelbagai lagi urusan lain.

“Masalah ini sudah berlarutan puluhan tahun, jadi pihak berwajib mesti memikirkan penyelesaian, kalau bukan sekarang, bila lagi? dan kawasan ini merupakan tempat tumpuan, boleh jadi tempat persinggahan pelancong atau pengguna jalan raya sebelum mereka masuk atau bila keluar Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), tapi agak susah hendak maju kalau kemudahan asas seperti air tiada.

“Walaupun air ada atau tidak, RM20 sebulan tetap kena bayar, apa guna kami membayar RM20 kalau bekalan air macam ini, ibaratnya macam satu penganiayaan kepada kami yang kekal bertahan berniaga hingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, warga emas orang kurang upaya (OKU), Zakaria Talib, 78, dan isterinya, Norihan Ismail, 68, yang mengusahakan kedai membaiki barangan elektrik di situ sejak 1994 turut terkesan dengan masalah tersebut.

Norihan berkata, ada ketika keadaan kesihatannya dan suami merumitkan urusan harian di kedai dan ketika itu mereka begitu mengharapkan bekalan air dapat dipulihkan dengan segera.

“Air paip dia macam itulah, kadang ada kadang tidak ada, kadang lori tangki air, masa itu JBA (Jabatan Bekalan Air) Pahang hantar lori air ke sini, kadang-kadang tak tau nak cakaplah.

“Bila kami telefon pejabat (JBA), mereka senyap dan masa itu (JBA) boleh dikatakan tak layanlah, kemudian mereka tak cakap pun apa punca bekalan air di sini bermasalah.

“Sekarang ada tangki air diletakkan di sini, tapi saya tak larat hendak memunggah air dengan faktor umur, memang tidak berdaya, jadi tolonglah selesaikan sebab sudah lama sangat berpanjangan masalah ini,” katanya.

Bagi peniaga kedai makan, Siti Huzaimah Md. Omar, 47, mereka begitu kecewa dengan layanan diberikan pihak bertanggungjawab yang tidak mempedulikan aduan dibuat selama ini.

“Saya sudah berniaga di sini lebih 10 tahun, sepanjang tempoh itu masalahnya sama saja iaitu bekalan air yang sentiasa terjejas. Bila kami minta tangki, memang mereka bagi tapi masalahnya benda itu (tangki) jauh, takkan kita nak angkut sepanjang masa. Adakalanya sampai satu tahap tidak berdaya juga,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Mohmmad Uwais Mohd. Adzmi, 41, merayu supaya pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bertindak segera menyelesaikan masalah air di arked tersebut.

“Kalau (permohonan) kami ini menyusahkan, kami minta maaf tetapi kami ini manusia, memang perlukan air untuk urusan harian. Lagipun, kawasan ini ramai orang berusia, ada OKU dan yang menetap dengan berkeluarga di sini.

“Sebelum ini ada banyak juga pihak yang datang antaranya SPAN dan Paip memang ada datang, SPAN kata nak selesai sebelum bulan puasa tahun lalu, tapi keadaan masih berlanjutan hingga sekarang pun belum selesai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya