PUTRAJAYA: Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Zon Timur berjaya membongkar kegiatan seorang lelaki menyimpan sejumlah 21 ekor burung kunyit pacat di Kelantan baru-baru ini.
Menurut kenyataan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di sini, suspek warga tempatan itu juga ditahan ketika serbuan ke atas sebuah premis di Kota Bharu.
“Lelaki berkenaan ditangkap kerana disyaki telah menyimpan unggas tersebut tanpa memiliki apa-apa dokumen penyimpanan yang sah dikeluarkan daripada Perhilitan,” jelas agensi itu.
Kunyit pacat amat digemari ramai peminat burung tempatan selain kunyit bukit dan kunyit bakau daripada spesies keluarga passerine kerana saiznya agak comel dan kemerduan kicauan.
Unggas ini yang kelazimannya disebut sebagai iora dalam bahasa Inggeris, hidup liar bebas di hutan Semenanjung Malaysia dan beberapa negara rantau Asia Tenggara di samping India.
Namun aktiviti pemburuan secara berlebihan menjejaskan bilangannya sehingga dimasukkan dalam senarai merah Kesatuan Pemuliharaan Semula Jadi Antarabangsa (IUCN) pada 2016.
“Laporan polis telah pun dibuat berhubung operasi berkenaan dan kesemua barang rampasan dibawa ke Pejabat Perhilitan Kuala Krai untuk proses siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Kes ini disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya. – UTUSAN