PUTRAJAYA: Meminta dan menerima suapan bagi bagi kerja-kerja berkaitan penyelenggaraan cerun jalan raya membabitkan peruntukan kira-kira RM300 juta setahun. Itu kesalahan yang disyaki dilakukan dua pegawai sebuah agensi kerajaan dan dua pemilik syarikat sehingga berjaya ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan.
Sumber berkata, dua pegawai agensi kerajaan terbabit yang masing-masing berusia 39 tahun kini bertugas di Negeri Sembilan, manakala seorang lagi bertugas di ibu pejabat di Kuala Lumpur.
“Difahamkan, kedua-dua pegawai tersebut telah meminta dan menerima suapan daripada kedua-dua pemilik syarikat terbabit bagi mendapatkan kerja-kerja berkaitan penyelenggaraan cerun di Jalan Persekutuan dan di jalan negeri membabitkan peruntukan kira-kira RM300 juta setahun,” katanya di sini.
Kesemua suspek itu berusia antara 39 hingga 42 tahun ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan.
Perintah reman sehingga 14 Februari itu dikeluarkan Majistret Ahmad Asyraf Mohamed Kamal di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut pagi tadi.
Empat suspek masing-masing itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya semalam selepas hadir memberikan keterangan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009. – UTUSAN