ALOR SETAR: Seorang penternak mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM50,000 selepas 17 ekor lembu miliknya mati secara tiba-tiba disyaki diracun di kawasan dusun Kampung Baharu, Panchor dalam Mukim Derang di Pokok Sena, dekat sini Ahad lalu.
Mat Suki Saidin, 55, berkata, kejadian itu disedari adiknya, Hamzah, 53, kira-kira pukul 6.30 petang sebelum menghubunginya yang berada di Alor Setar.
Katanya, selepas mendapat berita itu dia pulang ke kampung bagi memastikan sama ada benar melibatkan ternakannya dan punca kematian.
“Sebaik sahaja sampai, saya mendapati beberapa ekor lembu itu sudah mati bergelimpangan di dalam dusun buah-buahan. Lebih menyedihkan apabila masih ada beberapa ekor lembu yang masih lagi bernyawa tetapi dalam keadaan mulut berbuih,” katanya di sini hari ini.
Katanya, dia berasa sangat sedih dengan kejadian itu dan mengesyaki lembunya diracuni oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, ternakannya itu dilepaskan ke sawah kerana kebanyakan pesawah sudah menuai hasil padi mereka.
“Adalah menjadi tradisi di kawasan ini setiap kali selepas musim menuai, penduduk kampung yang menternak lembu melepaskan ternakan mereka untuk mencari makan sendiri. Bagaimanapun saya mengesyaki lembu saya itu masuk ke dusun itu melalui sawah kerana kawasan itu tidak berpagar,” katanya
Ujarnya, pengusaha perlulah mendirikan pagar sebelum bercucuk tanam supaya lembu tidak masuk ke kawasan tanaman mereka.
Kata Mat Suki, sebelum ini setiap pagi lembunya akan dibawa keluar untuk meragut rumput di sekitar sawah yang sudah dituai dan pada waktu petang pulang akan membawa masuknya ke kandang.
“Saya sudah menternak hampir 20 tahun lalu dan kejadian ini merupakan kali pertama saya menghadapinya. Keseluruhan lembu saya sebelum ini adalah sihat dan tidak mempunyai sebarang masalah penyakit,” jelasnya yang menternak baka Brahman.
Mat Suki turut membuat laporan di Balai Polis Pokok Sena dan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pokok Sena bagi menyiasat lanjut termasuk punca sebenar kematian ternakannya itu. – UTUSAN ONLINE