PETALING JAYA: Dengan hanya berbekal 16 pemain, skuad Bawah 23 (B-23) Malaysia gagal untuk mempamerkan kebangkitan. Mereka tewas 2-0 pada pertemuan kedua menentang Laos dalam aksi terakhir Kumpulan B Kejuaraan AFF B-23, sebentar tadi.
Dalam aksi kedua di Stadium Nasional Morodok Techo di Phnom Penh, Kemboja, Laos membuka tirai jaringan pada minit ke-43. Ia menerusi sepakan bola mati cantik yang dilakukan kapten pasukan, Bounpachan Bounkong untuk menewaskan Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.
Pada babak kedua, gawang skuad Malaysia sekali lagi dibolosi pada minit ke-85 menerusi Souksakhone yang mendapat peluang terbuka untuk meledak gol kedua buat Laos.
Kemenangan itu menyaksikan Laos layak ke separuh akhir manakala anak buah Brad Maloney terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal.
Sebelum ini, skuad negara tewas 1-2 kepada lawan sama pada aksi pembukaan, Jumaat lalu selepas dua pasukan dalam kumpulan tersebut, iaitu Indonesia dan Myanmar menarik diri lebih awal susulan Covid-19. – UTUSAN