14 sekolah jadi PPV PICKids di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

14 sekolah jadi PPV PICKids di Pulau Pinang

NORLELA Ariffin menunjukkan demonstrasi penggunaan alat ultra bunyi mudah alih ketika merasmikan 'Northern Region Ultrasound Handheld Course' kali kedua (NRUSH 2.0) di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Sebanyak 14 buah sekolah rendah dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di negeri ini secara berperingkat bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, ia bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada murid sekali gus meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap proses vaksinasi anak-anak mereka.

“PPV sekolah itu akan dibuat secara menyeluruh di kesemua lima daerah di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus ‘Northern Region Ultrasound Handheld’ kali kedua (NRUSH2.0) selama dua hari bermula hari ini di sini.

Sehingga Jumaat lalu, seramai 530 kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun telah mendapat suntikan vaksin di dua PPV yang terlibat dengan PICKids iaitu di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Lima lagi PPV kemudian turut dibuka untuk tujuan sama bermula Sabtu lalu iaitu di Tapak Pesta Sungai Nibong dan Dewan Sunshine Bayan Baru (daerah Barat Daya); Sunshine Bertam (Seberang Perai Utara); Tapak Ekspo Seberang Jaya (Seberang Perai Tengah) serta Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bandar Cassia di Seberang Perai Selatan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kursus NRUSH2.0 pula, kata Norlela, ia dihadiri kira-kira 50 doktor dari beberapa jabatan kecemasan serta jabatan anaetesiologi hospital khususnya dalam zon utara melibatkan tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Selain memberi pendedahan dan pengenalan mengenai teknologi ultra bunyi dalam bidang kesihatan katanya, kursus itu juga bertujuan melatih pakar dan pegawai perubatan tentang cara serta teknik penggunaan ultra bunyi yang betul dan sebagainya.

Menurut beliau, penggunaan pelbagai teknologi dalam bidang kesihatan itu termasuk ‘handheld ultrasound’ atau ultra bunyi mudah alih akan mempercepatkan tempoh masa untuk tindak balas dalam kalangan petugas perubatan.

Pada masa sama katanya, penggunaan peralatan itu secara menyeluruh dapat mengurangkan beban yang dipikul oleh pihak hospital.

“Sebagai contoh, mesin ‘ultrasound’ yang bersaiz besar kita tidak boleh dibawa dengan ambulans sebelum ini, namun dengan adanya ‘ultrasound’ mudah alih ini, ia boleh dibawa hampir ke mana sahaja. Beberapa orang anggota paramedik juga telah mula dilatih untuk mengendalikan peralatan ini dengan betul,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya