ALOR SETAR: Seramai 11,187 kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun di negeri ini telah menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) sehingga semalam.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, bilangan itu meliputi 4.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kanak-kanak dalam kumpulan umur tersebut iaitu seramai 254,100 orang berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia.
Katanya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 20.1 peratus atau 51,152 kanak-kanak telah mendaftar untuk mengambil vaksin di aplikasi MySejahtera di bawah PICKids.
“Berdasarkan rekod harian, sebanyak 2,109 dos suntikan telah diberikan kepada kanak-kanak di negeri ini pada semalam.
“Sasaran kebangsaan adalah untuk mencapai 50 peratus suntikan pertama hingga akhir Februari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi mencapai sasaran tersebut, pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengambil langkah membuka kemudahan suntikan vaksinasi Covid-19 kanak-kanak di hospital, klinik kesihatan dan semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite.
“Selain itu kita juga membuat penyelarasan dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk membuat suntikan di sekolah atau PPV berdekatan secara penjadualan mengikut sekolah,” katanya.
Sebelum ini Menterk Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICK Kids) semakin meningkat sejak dilancarkan pada 3 Februari lalu.
Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan ibu bapa di negara ini mahu memberikan perlindungan kepada anak-anak daripada virus Covid-19.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak menyebar fitnah berhubung suntikan pelalian tersebut.
“Alhamdulillah ibu bapa mahu memberi perlindungan kepada anak. Walaupun ada yang sebar fitnah anak saya dicucuk angin, semakin ramai ibu bapa yakin dengan vaksin. Jangan kacau orang lain yang nak vaksinkan anak mereka,” katanya dalam ciapan Twitter beliau hari ini. – UTUSAN