ISKANDAR PUTERI: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri mengeluarkan 110 saman kepada pemandu kenderaan yang bertindak melanggar lampu isyarat dalam satu operasi di sekitar daerah ini, semalam.
IPD itu dalam satu kenyataan memberitahu, operasi yang dijalankan selama empat jam itu dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Iskandar Puteri dan telah memeriksa sejumlah 130 buah kenderaan melibatkan 143 individu dengan fokus utama mengesan kesalahan langgar lampu isyarat merah.
“Sebanyak 110 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah di bawah Kaedah 17 LN 167/59. Tujuan utama operasi ini adalah disebabkan sikap sesetengah pemandu yang tidak sabar dan mementingkan diri sendiri dengan melakukan kesalahan langgar lampu isyarat merah,” jelas kenyataan itu hari ini.
Tambahnya, polis akan terus mengambil tindakan tegas untuk memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi isyarat lampu merah dan peraturan lalu lintas lain.
“Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membendung pelanggaran undang-undang yang boleh mengundang kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut,” tambahnya. – UTUSAN