10 PATI menyorok di kandang kambing elak dicekup

10 PATI menyorok di kandang kambing elak dicekup

PATI warga Indonesia yang ditahan di kawasan jeti pemunggahan balak di Kampung Kurnia Jaya, Tawau hari ini.-IHSAN ATB 2
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Taktik 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di kandang kambing bagi mengelak dicekup pihak berkuasa berjaya dikesan oleh Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2).

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi tadi, ATB 2 menahan kesemua 10 PATI warga Indonesia itu di kawasan jeti pemunggahan balak, Kampung Kurnia Jaya , di sini

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, kesemua PATI yang berusia antara 19 hingga 51 tahun itu dipercayai baharu mendarat di jet berkenaan lalu bersembunyi di kandang kambing bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa.

Beliau berkata, kejayaan tangkapan itu adalah hasil pemantauan pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) yang sedang melakukan rondaan Op Benteng Bersama.

“Hasil risikan pasukan QRF mendapati terdapat dua bot laju dalam keadaan mencurigakan mendarat di jeti pemunggahan balak tersebut. Kedua-dua bot itu kemudian berpatah balik ke sempadan perairan negara selepas menurunkan kesemua PATI.

“Pemeriksaan di kawasan berkenaan berjaya mengesan kesemua PATI sedang bersembunyi di kandang kambing bagi mengelak daripada dikesan oleh pasukan QRF,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Karim berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua PATI merupakan warganegara Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan cuba memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Tawau.

Kesemua mereka memaklumkan bahawa mereka berasal dari Pulau Sebatik, Indonesia dan masuk ke Sabah untuk bekerja.

Tangkapan itu dimaklumkan kepada Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 dan seterusnya dilaporkan kepada Pusat Operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk mendapatkan bantuan bagi melancarkan proses tangkapan.

Kesemua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi tujuan soal siasat, laporan polis dan proses saringan Covid-19 serta tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Tambah beliau, ATB 2 akan sentiasa mengetatkan kawalan sempadan melalui pelaksanaan Op Pasir dan Op Benteng Bersama bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta menghindar sebarang ancaman dan cabaran keselamatan demi menjaga kedaulatan dan keselamatan negara, khasnya di pantai timur Sabah.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya