KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa dia meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah disebabkan faktor duit, tetapi sebaliknya menegaskan, mempunyai alasannya sendiri yang akan dimaklumkan pada sidang akhbar dalam masa terdekat ini.
Pemain yang menghuni ranking No. 7 dunia itu berkata, dia tidak boleh menyekat ataupun menghalang orang lain daripada bercakap tentang dirinya.
“Mereka berhak untuk cakap macam-macam, mereka ada pandangan sendiri, saya juga ada fikiran saya sendiri. Keputusan ini bukan mudah, saya ambil masa yang agak panjang dan saya harap BAM boleh restu saya.
“Saya sedar BAM adalah tempat terbaik, mereka memiliki fasiliti terbaik di Malaysia. Keputusan ini bukan mudah untuk saya, memang ada satu alasan yang saya tak boleh cakap sekarang, tetapi saya boleh sahkan ia bukan pasal duit,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia dekat sini, semalam.
Difahamkan, Zii Jia, 23, pernah menerima tawaran hampir RM5 juta daripada syarikat pengeluar barangan sukan antarabangsa, selain dikatakan mungkin menyertai kelab yang menaungi seorang pemain handalan dunia.
Zii Jia yang masih enggan membuka mulut tentang sebab sebenar dia mahu meninggalkan BAM, berjanji akan menjelaskan tentang sebab pengundurannya sebaik badan induk sukan negara itu mengumumkan keputusan mereka, hari ini.
Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu memberitahu, walau apapun keputusan yang dibuat BAM kelak, dia akan tetap berpegang teguh kepada pendiriannya.
“Setakat ini, apa yang boleh saya katakan, benar saya sudah hantar surat peletakan jawatan. Macam Tan Sri Dr. Mohamad Norza (Zakaria) cakap memang ada rundingan.
“Apa sahaja keputusan, saya masih berpegang teguh kepada pendirian saya, apa-apa pun kita tunggu pengumuman BAM, esok (hari ini).
“Memang banyak saya hendak perkatakan, tetapi saya tak boleh komen banyak, kita tunggu dulu pengumuman BAM lepas itu baru pihak saya akan buat pengumuman pula,” ujarnya.
Kelmarin, Presiden BAM, Norza mengesahkan Zii Jia ada menghantar surat peletakan jawatan pada 11 Januari lalu dan badan induk tersebut akan membuat pengumuman berhubung keputusan pemain berusia 23 tahun itu, hari ini.
Menurut Zii Jia, dia masih menghormati BAM dan sebab itu, sebarang kenyataan daripada pihaknya hanya akan dilakukan selepas badan induk tersebut menyatakan pendirian mereka.
Ketika ditanya tentang perancangannya selepas meninggalkan BAM, pemain itu menjelaskan, buat masa ini, dia masih belum boleh memaklumkan tentang perkara tersebut.
Zii Jia yang turut meminta pandangan bekas rakan sepasukan seperti pemain beregu campuran, Lai Pei Jing yang kini bergelar pemain profesional amat berharap semua pihak dapat bersabar dan dalam masa sama, tiada yang cuba campur tangan termasuk jurulatih berhubung hasratnya itu.