LANGKAWI: ‘Wartawan’ cilik yang tular kerana melaporkan penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau, Sungai Petani menerima tawaran berlakon daripada sebuah sanggar produksi yang berpangkalan di ibu negara.
Muhammad Haziq Mohd. Asyraf, 12, berkata, dia menerima panggilan mengenai tawaran berlakon tersebut baru-baru ini.
“Nak terima tawaran tersebut pun jauh sangat, sebab dari KL (Kuala Lumpur), kita duduk kat Kedah, depa (mereka) duduk dekat KL.
“Nak juga berlakon macam Alisa, Kenit seperti dalam drama 7 Hari Mencintaiku, tapi dapat watak apa pun tak apa, watak nak jadi APM ke, buat panggilan 999 ke,” katanya ketika ditemui selepas Program Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Bersama Adiwira Cilik Prihatin di Kompleks APM Langkawi di sini semalam.
Pada majlis sama, Muhammad Haziq menerima penghargaan Pertahanan Awam ‘Aura Prihatin Marga’ daripada APM yang disampaikan Ketua Pesuruhjayanya, Aminurrahim Mohamed.
Dalam pada itu, Muhammad Haziq memberitahu, dia menerima tablet iPad daripada wakil Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.