Warisan boleh jadi ‘king maker’ pada PRU-15 - Utusan Malaysia

Warisan boleh jadi ‘king maker’ pada PRU-15

AHMAD Hassan (tengah) bersama kepimpinan Warisan Bahagian Papar semasa sidang akhbar di Papar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) berpeluang menjadi penentu atau ‘king maker’ bagi penubuhan kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Itu antara manfaat yang akan diperoleh susulan tindakan melebarkan sayap parti ke Semenanjung.

Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, banyak manfaat akan diperoleh apabila Warisan mengembangkan sayap ke Semenanjung.

“Misalnya, jika di sini (Sabah) kita mendapat 20 atau 15 kerusi Parlimen dan di sana (Semenanjung) kita dapat 10 kerusi sedangkan di Sabah, kita hanya ada 25 kerusi Parlimen.

“Ini menunjukkan sama ada kita ‘king maker’ atau sebaliknya. Itu antara sebab Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Presiden Warisan) ingin mengembangkan sayap parti ke sana,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ketua Bahagian Warisan Papar itu berkata, di Sabah hanya mempunyai 25 kerusi Parlimen dan tidak mustahil untuk Warisan menang kesemua kerusi berkenaan jika mereka bekerja keras dalam menyantuni rakyat di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, lapan kerusi Parlimen yang dimenangi Warisan pada PRU-14 tidak cukup untuk mengangkat suara dan masalah rakyat Sabah untuk didengari di Dewan Rakyat.

Tambah beliau, Warisan pasti mampu mempertahankan kerusi Parlimen Papar kerana beliau tidak pernah berhenti bekerja sejak diberi mandat sebagai ahli Parlimen.

“Semasa PRU-14, kita tidak tabur apa-apa kepada pengundi namun, kita berjaya menang kerana ketika itu orang mahukan perubahan.

“Sejak itu hingga sekarang saya tidak pernah berhenti bekerja. Terpulang kepada rakyat kerana kita tidak boleh paksa mereka. Paling penting adalah kita menjalankan tugas kerana mereka mahu melihat wakil rakyat bekerja untuk mereka atau sebaliknya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad menepis dakwaan sokongan masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) terhadap Warisan bahagian Papar semakin lemah.

Tindakan 24 cawangan tidak berdaftar keluar daripada Warisan tidak sedikit pun menjejaskan kedudukan parti yang dilihat semakin kukuh dengan sokongan yang ditunjukkan ahli-ahli di peringkat akar umbi termasuk masyarakat KDM.

Jelas beliau, masyarakat KDM akan terus berpecah belah dengan kewujudan parti baharu berasaskan kaum KDM. Jika masyarakat KDM tidak bersatu maka, apa yang diidamkan tidak akan tercapai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN