PETALING JAYA: Walaupun sudah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, cerita tentang remaja ‘jenazah’ terus menjadi perbualan netizen.
Terbaharu, seorang warganet mendakwa remaja lelaki itu yang videonya tular gara-gara dimandikan seperti `jenazah’ oleh pengurusan sebuah masjid, mencuri bukan untuk membeli ubat datuknya yang dikatakan menghidap kencing manis.
Netizen menggunakan nama Tik Masak itu mendakwa, remaja tersebut tidak dipukul semasa ahli jawatan kuasa masjid dapat menangkapnya, namun diberi pengajaran dengan cara memandikan jenazah.
“Imam tu orang lama Kuang. Bapa kepada kawan. Budak tu penagih syabu. Masa curi tabung masjid tu ada RM3,600 lebih dalam tu. Ahli Jawatan kuasa dapat tangkap budak itu, sikit pun tak kena belasah, tapi imam bagi pengajaran dengan cara mandi jenazah.
“Nasib imam tak tanam dia terus. Kalau aku, aku kafankan tanam terus. Korang (kamu) dengar cerita kesian (kasihan) wayang dia dengan peguam dia yang entah betul atau tidak terus kesian.
“Selepas ini jika ada pencuri nak rompak rumah korang, korang bagi saja harta benda korang ya. Tak perlu buat laporan polis.
“Sedangkan atuk (datuk) dia yang dia cakap nak tolong beli ubat kencing manis tu pun dia nak parangkan sebab tak dapat beli syabu. Masjid tu sudah terang-terang ada foodbank. Kita pun ada Yang Berhormat Salleh (Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang, Sallehudin Amirudin) jika nak minta bantuan, apa hal nak curi tabung masjid,” katanya dalam satu ruangan komen di Group Facebook Tasik Biru Kundang bagi mengulas mengenai kejadian kecurian itu malam tadi.
Semalam, media melaporkan, remaja tersebut dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang kerana cuba mencuri tabung masjid berkenaan.
Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Daniel Iskandar, 19, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, Daniel didakwa cuba melakukan curi tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah.
Kesalahan itu dilakukan Masjid Al Islahiah di Kilometer 28 Kuang, Rawang di sini pukul 11.58 malam pada 8 Januari lalu.
Bagaimanapun, remaja itu menjelaskan berbuat demikian kerana mahu membeli ubat buat datuknya yang berusia 70 dan menghidap penyakit kencing manis.
Dia turut menjelaskan sudah meminta bantuan dari beberapa orang namun, mereka juga tidak dapat membantu. – UTUSAN ONLINE