KUALA NERUS: Seorang wanita warga emas maut selepas rebah dalam sebuah bank di Gong Badak, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa yang berusia 66 tahun tiba-tiba rebah ketika melakukan urusan di kaunter dipercayai akibat serangan jantung.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan daerah yang tiba di lokasi kejadian.
Surirumah itu dikatakan datang ke bank berkenaan bersama anak perempuannya.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din mengesahkan kejadian itu.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk tindakan susulan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -UTUSAN ONLINE