PETALING JAYA: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan dipanggil ke Bukit Aman pada pukul 3 petang hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan perkara itu.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Pandan itu diminta hadir untuk direkod keterangan bagi membantu siasatan penerbitan buku bertajuk My Story: Justice in the Wilderness ditulis bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
“Ya, betul. Ini adalah prosedur biasa dalam sesuatu siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Terdahulu, media melaporkan pasukan petugas khas siasatan ke atas dakwaan Tommy dalam bukunya itu, mengadakan mesyuarat pertama di ibu negara, pada 23 Disember lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, pasukan khas itu ditubuhkan bagi membuat siasatan awal berhubung beberapa dakwaan yang ditulis dalam buku itu termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih.
Awal tahun lalu, Tommy menerbitkan buku namun menerima banyak kritikan kerana didakwa mengandungi unsur hasutan, penghinaan serta fitnah.
Susulan itu, polis menerima lebih 100 laporan terhadap Tommy berhubung penerbitan buku berkenaan. – UTUSAN ONLINE