KANGAR: Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menggesa Kementerian Kesihatanmemandang serius dan mengkaji kesan sampingan dos penggalak kepada mereka yang mungkin tidak sesuai.
Saranan tersebut dibuat Mohd. Asri dalam satu status di laman Instagram beliau semalam, berikutan bapanya yang mengalami gejala muntah serta menjadi sangat lemah selepas menerima dos ketiga vaksin Covid-19 dan kini sudah lebih seminggu di hospital.
Menurut Mohd. Asri, ayahnya terkena sekali lagi strok di bahagian yang sensitif di kepala dan puncanya belum jelas.
Beliau mempersoalkan apakah ada kaitan dengan dos penggalak atau sebebalinya dan tidak pasti yang mana hanya pakar yang dapat menjelaskan.
“Kebetulan minggu sebelum itu, ada anak seorang sahabat meninggal setelah jatuh sakit mengejut selepas dos ketiga. Beliau (anak sahabat) sebelum itu sihat. Saya tidak pasti sebab kematian yang sebenar. Keluarga beliau, orang kampung tidak menuntut siasatan terperinci.
“Mereka hanya kata “lepas vaksin nombor 3, tak pasai-pasai dia sakit, lepas tu meninggal”. Mungkin juga ada punca lain.
“Sebelum itu, ada juga orang yang rapat dengan saya yang menceritakan seorang bakal ahli jemaah umrah beliau yang ambil dos penggalak sebagai syarat umrah, tiba-tiba jatuh sakit dan meninggal. Juga tidak pasti apakah punca sebenar. Kebetulan atau ada kaitan? Kena kajian pakar,” katanya.
Kata Mohd Asri, ramai orang telah berkongsi situasi seperti itu di media sosial.
“Apapun, pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) wajar memandang serius dan mengkaji kesan sampingan dos penggalak kepada mereka yang mungkin tidak sesuai.
“Ramai yang menyebut hal ini di sosial media. KKM kena ambil perincian setiap kes. Semoga Allah SWT merahmati kita semua,” katanya. – UTUSAN ONLINE