JOHOR BAHRU: Sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini memberi makna yang besar kepada masyarakat Tionghoa terutama bagi mereka yang berada di Singapura dan dapat pulang ke tanah air.
Setelah tidak dapat pulang ke kampung ekoran pandemik Covid-19 sejak awal 2020, tahun 2022 memberi sinar kepada mereka yang dapat membeli tiket untuk pulang bagi menyambut perayaan itu.
Tinjauan Utusan Malaysia di Terminal Larkin Sentral mendapati, kebanyakan yang balik menggunakan insentif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Darat terdiri daripada masyarakat Cina yang bekerja di republik itu.
Rata-rata wajah mereka terpancar keceriaan dan kegembiraan kerana dapat meraikan sambutan Tahun Baharu Cina setelah ‘terkurung’ di Singapura akibat pandemik itu.
Bagi Hao Lin, 26, tahun ini merupakan tahun bertuah kepada dirinya kerana dapat balik menerusi inisiatif VTL.
Dia yang bekerja di syarikat Mac Crisson berkata, sudah tiga tahun tidak dapat balik ke kampung di Bercham, Perak.
“Saya rasa amat gembira kerana dapat balik kampung. Sudah tiga tahun saya tak dapat sambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga. Saya akan meraikan bersama ibu bapa dan semua adik-beradik di kampung,” katanya ketika ditemui di sini.
Rakan sekerjanya, Soh Qian Qian, 26, berkata, dia terharu kerana dapat balik ke kampung yang juga terletak di Perak.
“Sebaik sahaja saya sampai di Terminal Larkin Sentral macam tak percaya dapat balik dan sampai dengan selamat di sini walaupun terpaksa membuat ujian calitan.
“Saya berharap tahun Harimau kali ini membawa tuah kepada saya kerana sudah tiga tahun tidak dapat balik beraya bersama keluarga walaupun hanya dapat bersama selama tujuh hari,” katanya.
Pada masa ini, VTL darat dihadkan kepada pengangkutan bas sebagai mekanisme kawalan dan mod pengangkutan lain akan disenaraikan secara berperingkat.
Perkhidmatan bas VTL darat yang ditetapkan akan menggunakan Terminal Bas Larkin Sentral, Johor dan Terminal Queen Street (QST) di Singapura.