PADANG BESAR: Meskipun baru berusia tujuh tahun, namun Yusra Asna Ruslin langsung tidak kekok membantu bapanya menebar roti canai di gerai mereka di persimpangan lampu isyarat Balai Baru, Beseri di sini.
Kelibat comel Yusra Asna menebar roti canai khususnya pada musim cuti sekolah itu sekali gus menarik perhatian pelanggan di kedai makan dan minuman Uwita Enterprise itu.
Yusra Asna berkata, dia mula belajar menebar roti canai sejak tiga bulan lalu dan mengambil peluang sempena cuti sekolah untuk membantu perniagaan bapa.
Katanya, dalam sehari dia mampu menebar antara 50 hingga 60 biji roti canai.
YUSRA Asna Ruslin tak kekok menebar roti canai di kedai milik bapanya di Beseri, Perlis. – UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
“Saya memang minat tebar roti canai sebab selalu tengok ayah dan mak hari-hari buat roti canai di kedai makan kami ini. Dan selepas itu, saya mula belajar secara perlahan-lahan sehingga mahir,” kata murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tunjong itu.
Sementara itu, kakak sulung daripada empat beradik itu, Siti Yusmira, 14, berkata, dia dan adik-adik cukup gembira dapat belajar membuat roti canai sekali gus membantu ibu bapa.
“Bilangan roti canai yang boleh dihasilkan bergantung kepada berat tepung, ibu atau ayah yang uruskan dan dari situ kami mula belajar menebar roti canai dan martabak. Pada musim cuti sekolah, kami mengambil peluang membantu bapa dan ibu di kedai,” katanya.
Sementara itu, bapa kanak-kanak tersebut, Ruslin Meli, 45, pula berkata, anak perempuannya itu menunjukkan minat yang mendalam untuk mempelajari cara-cara menghasilkan roti canai.
Katanya, pada peringkat awal belajar, banyak juga roti yang rosak namun anaknya itu sama sekali tidak pernah berputus asa untuk terus mempelajari cara-cara menebar roti canai itu dan semakin pandai.
Jelasnya, dia membawa anak-anak ke gerai perniagaan kerana senang untuk memantau pergerakan mereka.
“Namun apabila mereka (anak-anak) berada di kedai, mereka mula membantu dan menunjukkan minat untuk mempelajari lebih serius menebar roti canai.
“Saya tidak pernah memaksa mereka belajar membuat roti canai namun apabila mereka mempelajari kemahiran ini, sekurang-kurangnya boleh dijadikan bekalan pada masa depan.
“Selain itu, saya juga merasakan mereka juga menjalani pembelajaran tidak formal seperti membina keyakinan diri, menjaga kualiti dalam melakukan sesuatu perkara selain dapat berkomunikasi dengan baik dengan pelanggan,” katanya.