PORT DICKSON: Satu laporan polis dibuat berhubung video yang tular dalam media sosial mengenai kekesalan seorang pelanggan terhadap layanan dan sikap tidak ambil berat pihak pengurusan hotel di daerah ini, selepas berlaku kemalangan di bangunan itu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, polis menerima laporan polis itu kira-kita pukul 4.04 petang semalam daripada seorang wanita berusia 47 tahun yang merupakan seorang pekerja bahagian pengurusan hotel tersebut.
“Laporan dibuat berikutan satu video yang ditularkan melalui aplikasi Tiktok dan Facebook daripada satu akaun berhubung kekesalan dan rasa tidak puas hati seorang pelanggan terhadap layanan serta sikap tidak ambil berat pihak pengurusan hotel.
“Ini ekoran telah berlaku satu kejadian pada 12 Januari lalu yang mana seorang anak kepada pelanggan hotel dikatakan mengalami kecederaan melecur sebanyak enam peratus di bahagian tangan dan badan akibat terkena tumpahan air panas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Aidi Sham, pihak keluarga telah membuat aduan yang menyalahkan pengurusan hotel berkenaan pengubahsuaian dan kedudukan susun atur barang di dalam bilik sehingga menyebabkan kejadian berlaku kepada anaknya.
“Pihak pengurusan hotel dengan rasa simpati atas kejadian telah memulangkan semula bayaran hotel kepada keluarga mangsa dan menafikan tidak mengambil berat terhadap kejadian yang menimpa keluarga mangsa sebaliknya mengambil maklum aduan yang dibuat,” katanya yang memberitahu selepas itu tular video tersebut dalam media sosial.
Dalam paparan video berdurasi 52 saat, dipaparkan kaki peti ais yang diubah suai daripada keadaan asal menyebabkan tidak stabil sebelum terjatuh dan hampir menimpa kanak-kanak itu.
Lebih malang, dalam video itu memaklumkan bersebelahan peti ais terdapat cerek elektrik dengan air yang baru dipanaskan turut terjatuh dan terkena pada anaknya sehingga melecur.
“Laporan telah dibuat untuk pihak hotel tetapi malangnya hanya sedikit pampasan diberi dan ia tidak setimpal dengan kejadian menimpa anak saya,” dakwa pemilik akaun Tiktok @harrunarashid123. – UTUSAN ONLINE