[VIDEO] Rumah Merah Jalan Silang  ‘sarang’ pelacur diserbu Imigresen - Utusan Malaysia

[VIDEO] Rumah Merah Jalan Silang  ‘sarang’ pelacur diserbu Imigresen

RUMAH merah yang menjadi sarang pelacur terdiri warga asing diserbu Imigresen di Jalan Silang, Kuala Lumpur. - IHSAN IMIGRESEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai lima pelacur dan dua lelaki warga asing ditahan dalam satu serbuan di sebuah premis yang dikenali ‘Rumah Merah’ di Jalan Silang, dekat sini semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan pada pukul 3.30 petang itu dilakukan Unit QRT Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Imigresen dengan kekuatan seramai 10 Pegawai Imigresen melibatkan pemeriksaan 11 individu terdiri daripada warga asing dan warga tempatan.

Katanya, semasa serbuan, terdapat cubaan melarikan diri wanita dan pelanggan namun tidak berjaya kerana premis telah dikepong.

PENGUAT KUASA Imigresen memecahkan dinding rumah merah yang menjadi sarang pelacur terdiri warga asing kerana penjaga premis tidak memberi kerjasama membuka pintu di Jalan Silang, Kuala Lumpur. – IHSAN IMIGRESEN

“Penjaga premis mengambil tindakan dengan mengunci pintu dari dalam bagi menyekat serbuan masuk dan tidak memberi kerjasama untuk membuka pintu hingga menyebabkan dinding premis terpaksa dipecahkan selepas cubaan untuk membuka dan mengumpil pintu besi yang dikunci dari dalam tidak berjaya.

“Seramai 11 individu termasuk empat warga tempatan telah diperiksa di dalam premis ini di mana tujuh wanita menyorok di dalam bilik rahsia, tiga orang pelanggan menyorok di laluan rahsia dan penjaga premis menyorok di dalam tangki air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, susulan pemeriksaan, pihaknya menahan seramai tujuh orang warga asing yang terdiri daripada tiga wanita warga Indonesia, dua wanita warga India, seorang lelaki warga Nepal penjaga premis dan seorang lelaki warga Myanmar yang merupakan pelanggan di premis tersebut.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati premis ini telah dibuah suai secara haram dengan binaan bilik-bilik untuk melayan pelanggan dan juga laluan rahsia, manakala keadaan premis agak suram dengan penggunaan pencahayaan berwarna merah dan persekitaran dalam premis yang berbau serta kotor.

“Siasatan awal mendapati premis pelacuran ini beroperasi dari pukul 9.00 pagi sehingga 9.00 malam dengan bayaran di antara RM30 hingga RM60 sekali langganan. Malah, akuan lisan dari salah seorang pekerja wanita menyatakan setiap pekerja wanita menerima 10 sehingga 12 orang pelanggan sehari dan lebih ramai pelanggan pada hujung minggu.

“Setiap pekerja wanita juga dikenakan bayaran yuran sebanyak RM25 sehari untuk bilik, kondom, tisu dan pelincir. Bayaran ini perlu dijelaskan kepada penjaga premis setelah tamat waktu bekerja,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, empat notis untuk hadir memberi keterangan dikenakan kepada dua orang wanita tempatan pekerja di premis tersebut dan dua orang lelaki tempatan yang merupakan pelanggan di dalam premis semasa serbuan dijalankan.

“Siasatan awal mendapati antara kesalahan ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

“Kesemua tahanan warga asing akan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya