KUALA TERENGGANU: Operasi menyelamatkan pelantar minyak Telok A milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) daripada meletup dirempuh kapal pesisir pantai milik syarikat Indonesia, Winposh Rampart berjaya dilaksanakan hari ini.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, kapal berkenaan berjaya ditambat kira-kira pukul 3.30 petang ini dan dijangka tiba ke Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) di Kemaman dalam tempoh 65 jam lagi.
OPERASI menambat kapal pesisir pantai milik syarikat Indonesia, Winposh Rampart bagi ditunda ke Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) di Terengganu hari ini. – VIDEO MARITIM MALAYSIA
Katanya, usaha menambat kapal hanyut itu dilakukan anggota Pasukan Tindakan Khas (PTK) Maritim Malaysia bagi ditunda oleh kapal Icon Lotus milik Petronas.
“Kini Winposh Rampart sedang ditunda oleh Icon Lotus ke KSB dan dijangka tiba 65 jam lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kapal Winposh Rampart sepanjang 72 meter dan seberat 2,588 tan itu dikatakan hanyut selepas terputus tali tunda di kedudukan kira-kira 120 batu nautika dari Kuala Terengganu pada pukul 3.15 petang, semalam.
Kapal tanpa kru berkenaan sebelum itu ditunda oleh kapal Limin Rosmina milik syarikat perkapalan sama menuju ke Yang Pu, China dari Matak, Indonesia.
Semasa kedua-dua kapal itu berada di perairan Vietnam, tali tundanya terputus berikutan cuaca buruk lalu menyebabkan kapal Winposh Rampart hanyut sehingga memasuki perairan Malaysia.