(VIDEO) Isteri bunuh suami didakwa  - Utusan Malaysia

(VIDEO) Isteri bunuh suami didakwa 

LAU Seck Yan didakwa di Mahkamah Majistret Seremban  atas pertuduhan membunuh suaminya. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh suaminya di sebuah rumah di Rasah Kemayan Seremban 2 di sini, Ahad lalu. 

Tertuduh, Lau Seck Yan, 55, yang merupakan seorang suri rumah dan juga bekas calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 2018, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norzaliza Tesmin. 

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak dibenarkan diikat jamin. Dalam kamar mahkamah, Seck Yan memberitahu, dia tidak sepatutnya didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

“Ini satu pertuduhan mengkhianat dan memfitnah saya. Saya tidak sanggup didakwa di bawah seksyen tersebut (membunuh),” katanya. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah menyebabkan kematian suaminya, Poh Seng Hiap, 55. Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan RK 6/2, Rasah Kemayan Golf & Country Township di antara pukul 3.30 hingga 4.30 petang pada 23 Januari lalu. 

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. 

Terdahulu dalam prosiding kes, peguam, Ng Kian Nam yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dirujuk kepada pakar psikiatri kerana kejadian itu adalah insiden keluarga. 

“Tertuduh memohon dirujuk kepada psikiatri untuk menilai keadaan mentalnya,” katanya. 

Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi membantah berikutan di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah hanya tertuduh yang disyaki tidak sempurna akal dirujuk kepada hospital psikiatri. 

Mahkamah kemudian memutuskan tiada keperluan tertuduh dirujuk kepada psikiatri dan kes disebut semula 25 Februari ini. 

LAU Seck Yan didakwa dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membunuh suaminya, Poh Seng Hiap dalam kejadian pada 23 Januari lalu. – VIDEO/NOR SHAFAWATI YUP

Sementara itu, tertuduh yang tiba di perkarangan mahkamah pada pukul 9.30 pagi menarik perhatian orang ramai apabila berulang kaki menjerit memaklumkan dia tidak membunuh sesiapa dan menjadi mangsa sebaik keluar daripada kenderaan polis. 

“Saya tidak bunuh sesiapa. Saya tidak bunuh sesiapa. Saya adalah mangsa. Saya telah dituduh (membunuh). Ingat muka saya, ingat kata-kata saya. Saya tidak bunuh sesiapa. Mereka mahu siasat saya di bawah seksyen ini (membunuh), ini tidak adil dia (mangsa) tolak saya, dia serang saya, pegawai polis enggan menyiasat saya di bawah seksyen lain. Mereka paksa saya untuk bagi kerjasama tetapi saya tidak (buat),” katanya ketika diiringi pegawai polis memasuki kamar mahkamah. 

Sebelum ini, media melaporkan seorang warga lelaki maut selepas dipercayai ditikam isterinya dalam satu kejadian di Rasah Kemayan Seremban 2 di sini, Ahad lalu. Polis menerima panggilan kecemasan daripada anak perempuan mangsa berusia 18 tahun memaklumkan bapanya telah ditikam di bahagian dada dalam kejadian pada pukul 4.11 petang. 

Mangsa berusia 55 tahun itu tidak bekerja dan sebelum ini bertugas sebagai akauntan syarikat swasta manakala isterinya adalah suri rumah. Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisoner Nanda Maarof berkata, berdasarkan siasatan awal punca kejadian dipercayai bermotifkan masalah kewangan. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya