PETALING JAYA: “Saya pemilik akaun (TikTok), mengenai video itu, saya cuma upload (muat naik) sahaja, saya tiada kena mengena dengan kemalangan itu”.
Demikian ditegaskan seorang lelaki mengenai video yang tular yang mendakwa seorang lelaki mabuk selepas kenderaannya terlibat kemalangan dengan tiga kenderaan lain.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar berkata, dakwaan tersebut tidak benar dan lelaki berkenaan yang meninggal dunia mengalami serangan jantung ketika kejadian berlaku.
Lelaki dalam TikTok itu menambah, kereta yang kena langgar itu juga bukan keretanya dan suara wanita dalam video berkenaan juga bukanlah isterinya.
Di sisi lain, isterinya pula memberitahu, individu dalam video yang mendakwa lelaki itu mabuk bukanlah dirinya dan suara itu juga bukan suaranya.
“Buka kami punya video, cuma suami saya share (kongsi) sahaja video itu. Kami sudah membuat laporan polis dan bukan kami yang buat (video itu).
“Tolonglah jangan kecam kami, bukan kami yang buat. Kepada keluarga arwah, kami minta maaf banyak-banyak dan kami cuma share sahaja,” katanya.
Suaminya pula menambah, bukan dia sahaja yang share video itu tetapi ada ramai lagi.
“Cuma kami yang menjadi mangsa keadaan. Saya minta maaf atas segala kesulitan,” katanya.
Dalam ada itu, Shafa’aton berkata, pihaknya mengesan satu video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki terbabit kemalangan membabitkan sebuah lori dengan tiga kenderaan.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku berdekatan sebuah kilang di Jalan BRP 8/2, Sungai Buloh di sini kelmarin.
“Lelaki itu dipercayai sakit dada sehingga menyebabkan lori dipandu hilang kawalan lalu merempuh kenderaan lain di bahu jalan.
“Pada pukul 12.09 tengah hari sama, lelaki itu meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh akibat ‘myocardial infarction’ (serangan jantung),” katanya dalam kenyataan.
Tambah Shafa’aton, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.