SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) akan menghantar waris pelajarnya yang terlibat dalam kemalangan di Curacao, Caribbean, 7 Januari ini untuk memberi sokongan moral kepada mangsa.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pihak universiti berbuat demikian setelah mengadakan perbincangan dengan ibu bapa pelajar terlibat, Nur Nabilah Mohd. Azahar, 25.
“Pihak universiti bersetuju untuk menghantar wakil keluarga pelajar berkenaan bagi melihat dan memberi sokongan moral kepada Nur Nabilah setelah mengadakan perbincangan bersama ibu bapanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Akhbar melaporkan, Nur Nabilah yang merupakan pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dari Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) terlibat dalam kemalangan ketika menjalani latihan industri di Dive Division Curacao, Caribbean pada 28 Disember lepas.
Penuntut itu kini menjalani latihan industri selama empat bulan bermula 13 September hingga 13 Januari ini.
Kemalangan yang berlaku pada 28 Disember lalu mengakibatkan kaki kanannya terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawanya.
Dr. Haim Hilman berkata, pegawai UUM turut dihantar ke sana bagi membantu mengurus dan memudah cara segala urusan berkaitan rawatan termasuk memberi sokongan moral kepada Nur Nabilah.
“Waris Nur Nabilah dan pegawai UUM akan segera berangkat ke Curacao setelah semua urusan dokumentasi selesai dan pada masa sama pihak universiti turut bekerjasama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Venezuela dan Kementerian Pengajian Tinggi
“UUM berusaha memastikan keperluan rawatan dan kebajikan Nur Nabilah dipenuhi serta urusan membawa pulang nanti berjalan lancar bergantung kepada tahap kesihatan dan kebenaran dari hospital di Curacao,” katanya.
Katanya, pihak universiti menzahirkan rasa sedih dan simpati kepada Nur Nabilah dan keluarga di atas kemalangan yang menimpa.
“Semoga Nur Nabilah kembali sembuh dan tabah menghadapi ujian ini,” katanya. – UTUSAN