PETALING JAYA: Pelakon, Niezam Zaidi menzahirkan rasa kesal dan berang selepas ada individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat peribadi dan alamat kediaman keluarganya di media sosial.
Perkara tersebut dikongsikan oleh pelakon filem M4M4 itu menerusi beberapa klip video bersulamkan kata amaran di Instastory miliknya.
Menurut Niezam, kesabarannya sudah berada di tahap maksima apabila individu berkenaan mengheret sama anggota keluarganya.
“Alhamdulillah, terima kasih semua yang mendoakan dan memberi kata-kata semangat. Saya sudah lama bersabar, usik saya tidak mengapa tetapi jangan keluarga saya.
“Nak buka aib saya tidak apa-apa, tidak kisah tetapi sekarang anda kacau keluarga saya.
“Anda tularkan itu gambar itu tidak apa, tetapi itu alamat rumah keluarga saya lah,” katanya di Instastory.
Selanjutnya, dia meminta individu yang menyebarkan maklumat tentang diri dan keluarganya itu tampil datang berjumpa sendiri dengannya.
“Anda sedap berkongsi, pejam mata serta tidak rasa apa. Saya yang kena hadap.
“Awak cari saya ya. Saya nak tanya apa motif awak lakukan seperti itu. Lama saya sabar dan tahan,” tuturnya lagi.
Dalam entri yang sama, Niezam mencoretkan permohonan maaf andai pertuturannya dalam video berkenaan menguris hati pengikutnya di platform tersebut.
“Maaf semua, ter-emo sebab lama saya simpan, telan, hadam serta tahan. Tak boleh cakap dah, menggigil teruk… geram! Jadi aku taip.
“Maafkan saya jika terkasar bahasa, bukan tuju kepada kamu semua, aku tuju kepada… nanti kita ‘teaser’ sedikit ya. (jangan risau bro, saya ada bukti),” ujarnya.
Baru-baru ini, dia bersama pengarah filem, Mohd Latiff Zami dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail didenda Mahkamah Majistret Kuala Kangsar atas kesalahan memiliki dan mengambil dadah pada Oktober lalu.
Majistret Mohd. Shazmeer Zamhari menjatuhkan hukuman itu terhadap mereka selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.
Niezam didenda RM 4,000 manakala Mohd. Latiff dedenda RM 3,800 dan Saiful Zaidrin (RM4,000).