Usaha berterusan kurang kos sara hidup rakyat - KPDNKHEP

Usaha berterusan kurang kos sara hidup rakyat 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalankan usaha berterusan di samping penguatkuasaan bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat dan memberi pelbagai pilihan kepada pengguna untuk berjimat melalui pembelian terancang. 

Menurut kenyataan kementerian itu, ia antaranya menerusi Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dengan pelaksanaannya melibatkan seluruh 222 Parlimen bermula 2 Disember dan diteruskan sehingga Mac depan.

Selain itu, katanya, kementerian juga memperkenalkan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang dilaksanakan bermula pada 7 Disember lalu, bertujuan menstabilkan harga barangan keperluan asas pada masa ini serta dilanjutkan sehingga 4 Februari.

“Dalam masa sama, usaha ini akan dilanjutkan dengan pelbagai program bersifat rakyat yang akan dilaksanakan dalam tahun ini seperti Jualan Kembali Ke Sekolah (Back-to School), Jualan Musim Perayaan, Jualan Hari Kebangsaan, Jualan Bulan Sukan dan sebagainya,” katanya hari ini.

Kenyataan itu menyebut, tugas penguatkuasaan turut giat dijalankan melalui Op Cakna, Op Pasar dan Op Menu dalam memastikan tiada pihak mengambil kesempatan ke atas insiden banjir.

Malah, katanya, sesi libat urus diteruskan bersama industri untuk mencari jalan penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi pasca Covid-19.

Ujarnya lagi, ekonomi digital turut diperkasakan dengan memperluas lagi inisiatif transaksi runcit tanpa tunai iaitu Retail Degitalisation Initiative (ReDI) ke seluruh negara sejajar dengan tuntutan realiti semasa.

“Semua sektor ekonomi perdagangan dan pengedaran domestik diyakini melonjak semula. Kementerian juga mengingatkan rakyat dan semua premis perdagangan domestik sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan kadar jangkitan kekal rendah dan tidak menjejaskan operasi perniagaan dan pengedaran.

“Pengalaman daripada Covid-19 dan bencana banjir juga mendorong kementerian mempergiatkan program kepenggunaan dalam memastikan ahli Keluarga Malaysia lebih cakna kepada hak dan peranan sebagai pengguna di samping bersedia menerima keadaan sukar yang sedang menghambat negara dan membuat perubahan sementara sama ada dari segi cita rasa, corak perbelanjaan dan semangat kenegaraan,” katanya.

Sementara itu, nilai jualan perdagangan borong dan runcit yang merekodkan peningkatan 5.4 peratus kepada RM116.4 bilion pada Oktober lalu berbanding RM110.5 bilion pada tahun sebelumnya menunjukkan, sektor dikawal selia oleh KPDNHEP tetap mencatatkan perkembangan positif walaupun negara masih bertungkus-lumus menangani Covid-19, banjir, kelembapan ekonomi dan kenaikan harga barang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya