Unboxing isteri: Semakin ramai hilang sifat malu - Mufti Pulau Pinang  - Utusan Malaysia

Unboxing isteri: Semakin ramai hilang sifat malu – Mufti Pulau Pinang 

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menegur perbuatan segelintir umat Islam mengikut  trend unboxing isteri yang kini tular dalam kalangan pasangan pengantin baharu. 

Menurut beliau, hubungan intim antara suami dan isteri haram didedahkan kepada orang lain dan perbuatan mendedahkan rahsia suami dan isteri juga adalah satu pengkhianatan yang besar dalam pandangan Islam. 

“Saya amat dukacita mendapati semakin ramai orang Melayu Muslim di negara kita masa kini sudah kehilangan sifat malu, sedangkan agama Islam amat mementingkan sifat ini. 

“Perasaan malu menurut beberapa hadis Nabi Muhammad SAW dianggap sebagai anak kunci syurga, malah sifat ini juga merupakan tiang seri bagi akhlak terpuji yang mampu memelihara iman seorang Muslim dan mencegahnya daripada melakukan maksiat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Baru-baru ini, tular satu trend di aplikasi TikTok yang mana pasangan pengantin baharu memuat naik video yang menunjukkan pengantin lelaki membantu pengantin perempuan menanggalkan setiap aksesori yang terdapat pada bahagian kepala pengantin. 

Dalam video itu, pasangan pengantin berkenaan masih memakai busana pengantin dan dirakam menerusi cermin oleh pengantin perempuan. 

Menurut Wan Salim, banyak ayat al-Quran dan hadis melarang suami atau isteri menceritakan hubungan intim mereka  kepada sesiapa sahaja kerana memelihara rahsia rumahtangga adalah wajib dan  tidak boleh didedahkan. 

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyarankan Mahkamah Syariah menjalankan pembicaraan terhadap kes-kes perbalahan antara suami dan isteri secara tertutup supaya rahsia kedua-duanya tidak diketahui orang lain. 

“Perbalahan antara pasangan suami isteri tidak seharusnya dijadikan bahan tontonan. Tentunya di dalam perbicaraan  tersingkap aib masing-masing, kadang-kadang ada pula yang mengambil kesempatan untuk meruntuhkan rumahtangga pasangan terbabit atau meruncingkan lagi keadaan sehingga sukar untuk diselesaikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya