PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, berikutan itu, tiada perjalanan mengerjakan ibadat itu selepas 7 Januari ini sehingga tarikh yang dimaklumkan kelak.
Kata beliau, tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu ditangguhkan berkuat kuasa hari ini.
“Selain itu, kuarantin wajib dikenakan di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi jemaah umrah yang pulang ke Malaysia bermula 3 Januari.
“Bagi jemaah yang akan berlepas pada 1 hingga 7 Januari ini, mereka dibenarkan meneruskan perjalanan, namun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel yang dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak Nadma apabila tiba di Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Ujarnya lagi, penangguhan sementara aktiviti umrah ini dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahan peningkatan kes Covid-19. – UTUSAN ONLINE