KUALA TERENGGANU: UMNO dan Johor umpama isi dan kuku yang tidak boleh dipisahkan, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata, falsafah, ideologi dan cara hidup parti Melayu itu lebih banyak difahami oleh orang Johor.
Malah, lebih istimewa, katanya, UMNO juga diasaskan di Istana Besar Johor pada 1946.
“UMNO tidak bermula sebagai parti yang memerintah. UMNO dan Johor tidak boleh dipisahkan. Falsafah, ideologi dan cara hidup UMNO lebih banyak difahami oleh orang Johor.
“Parti lain sejarahnya lain, falsafahnya pun lain,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Di samping itu, Ahmad Shabery turut memuat naik gambar para pengasas UMNO di Istana Besar Johor, hampir lapan dekad lalu sambil menyifatkan momen berkenaan cukup unik.
Hantaran bekas Ahli Parlimen Kemaman itu susulan perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Terdahulu, Ahmad Shabery menyindir pihak atau parti tertentu yang gemar bermain banyak kolam dalam politik seperti berudu.
Tanpa menyebut mana-mana pihak, beliau menyifatkan mereka yang bermain banyak kolam itu bergantung kepada air yang diumpamakan seperti kuasa.