GEORGETOWN: UMNO dicadang menganjurkan kongres khas dengan persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di seluruh negara bagi mendapat semula sokongan menjelang Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15).
Veteran UMNO, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, pemimpin UMNO perlu bersikap terbuka dengan menganjurkan kongres khas itu supaya dapat mendengar sendiri suara hati NGO yang mewakili orang Melayu dan menerima cadangan, pandangan, teguran dan kritikan secara keseluruhannya.
“Jika UMNO mahukan sokongan padu orang Melayu, pemimpinnya harus berjiwa besar untuk menerima teguran, kritikan dan pandangan di dalam kongres ini.
“Para pemimpin UMNO haruslah bersikap terbuka dan hapuskan sikap ‘warlord‘ di dalam parti dan ini perlu dilakukan sekiranya para pemimpin UMNO bersungguh-sungguh ikhlas mahu berubah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, sebagai orang lama yang bersama-sama dengan UMNO sejak 1946, beliau menilai UMNO mula tergelincir daripada landasan perjuangan asalnya sejak 1988.
Jelas beliau, UMNO ketika itu telah direlakan oleh pemimpin sendiri untuk diharamkan oleh mahkamah bagi menubuhkan UMNO baharu.
“Imej UMNO kemudiannya menjadi bertambah buruk apabila beberapa pemimpinnya pula terpalit dengan isu penyelewengan dan rasuah.
“Seterusnya UMNO dianggap bukan lagi dikuasai oleh akar umbi tetapi dikuasai oleh pemimpin-pemimpinnya yang mengamalkan politik wang,” katanya.
Tambahnya, disebabkan itu beliau percaya UMNO kini memerlukan suntikan semangat perjuangan asal penubuhannya pada 1946 supaya UMNO muncul kembali sebagai juara dalam perjuangannya.
“Para pemimpin UMNO harus menghentikan sikap kita lebih tahu kerana keputusan PRU-14 telah memberi isyarat jelas iaitu rakyat lebih tahu.
“Andainya UMNO mahu kembali mentadbir negara bersama Barisan Nasional (BN), para pemimpinnya harus membuktikan sikap terbuka, berintegriti, jujur dan amanah dengan tidak lagi pentingkan diri untuk mengaut kekayaan peribadi,” katanya.