Ugut kematian bapa tiri: Anak lelaki pengasas kosmetik DNARS dilepas tanpa dibebaskan - Utusan Malaysia

Ugut kematian bapa tiri: Anak lelaki pengasas kosmetik DNARS dilepas tanpa dibebaskan

MOHD. Aqbar Hakim Jasman hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi perbicaraan atas pertuduhan menghantar ugutan untuk menyebabkan kematian bapa tirinya melalui aplikasi WhatsApp. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Anak lelaki pengasas kosmetik DNARS, Mohd. Aqbar Hakim Jasman dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini daripada pertuduhan menghantar ugutan untuk menyebabkan kematian bapa tirinya melalui aplikasi WhatsApp, dua tahun lalu.

Majistret S. Mageswary memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa mangsa yang merupakan bapa tiri tertuduh dan pengadu yang juga isteri bapa tirinya, tidak hadir ke mahkamah.

Ahmad Shah Rizal Ibrahim (mangsa) dan Nurulain Syahirah Mat Hasmuni (pengadu) sepatutnya hadir semalam bagi memaklumkan hasrat untuk tidak meneruskan kes tersebut selepas wanita itu menarik balik laporan polis yang dibuatnya.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang berkata, kedua-duanya tidak hadir ke mahkamah tanpa alasan meskipun sapina telah diserahkan kepada mereka sebelum ini untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon tarikh perbicaraan lain ditetapkan. Hari ini dijadualkan sebagai hari pertama perbicaraan.

Terdahulu, Najihah memaklumkan pengadu telah menarik balik kes itu namun mereka gagal hadir di mahkamah tanpa menyertakan alasan walaupun setelah diberikan sapina.

Bagaimanapun peguam Muhammad Nor Izzat Nordin yang mewakili Mohd. Aqbar berkata, pihaknya bersedia untuk meneruskan perbicaraan.

Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, Mageswary memutuskan Mohd. Aqbar dilepas tanpa bebas dengan mengambil kira mangsa dan pengadu gagal hadir tanpa alasan yang munasabah dan kukuh walaupun selepas diserahkan sapina.

Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan RM4,000 dikembalikan.

Ketika didakwa pada 1 Julai 2020, Mohd. Aqbar, 22 yang juga anak sulung kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, didakwa menakutkan Ahmad Shah, 43, dengan ugutan hendak menyebabkan kematiannya.

Ugutan itu disampaikan melalui pesanan ringkas aplikasi Whatsapp iaitu ‘papa igt deh kalau adik ore mati, ore g pancung belako’.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pusat beli belah Pavilion, Jalan Bukit Bintang di sini, pukul 8.45 malam pada 15 Jun 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pada Mei 2019, media melaporkan pengasas produk DNARS itu meninggal dunia manakala suaminya cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Pattani, Thailand.

Faziani Rohban maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala suaminya cedera. Kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dinaiki mangsa dan sebuah lori.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya